PASIR GUDANG - Bomba menyelamatkan dua wanita dewasa yang terperangkap dalam kebakaran di tiga buah rumah di Jalan Tembikai, Taman Kota Masai di sini pada awal pagi Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.37 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 21 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu utiliti dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres jenis kekal. Dalam kejadian tersebut terdapat dua mangsa telah dikeluarkan dan diberikan rawatan awal oleh anggota bomba.
"Kedua-dua mangsa, Azian Zainalabidin, 20, dan Murni Atikah Zainalabin, 25, didapati separa sedar sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dengan menaiki jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, selain itu, tiga buah kereta jenis Toyota Yaris, Toyota Avanza dan Proton Saga terbakar 80 peratus serta tiga buah motosikal terbakar 95 peratus.
Menurutnya, kebakaran tersebut mengkibatkan kemusnahan rumah pertama sebanyak 20 peratus, rumah kedua 90 peratus dan rumah ketiga, 40 peratus.
Katanya, operasi berkenaan tamat pada jam 6.22 pagi, sementara punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.