PDRM lancar Op Lancar, Op Selamat 20 sempena Aidilfitri

Iklan
PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik menjelang sambutan Aidilfitri. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bagi memastikan kelancaran perjalanan, fokus Op Lancar adalah di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, seluruh jentera PDRM di lapangan melibatkan anggota dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan dan operasi.

"Semua ini akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran.

Iklan

"PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membantu penugasan melancarkan aliran trafik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, PDRM akan turut melancarkan Op Selamat 20 sempena Aidilfitri bermula 20 hingga 27 April ini.

Iklan

Kata beliau, operasi selama lapan hari tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan tema 'Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi'.

Jelas beliau, fokus utama operasi itu adalah memastikan kelancaran aliran trafik, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

"Dalam Op Selamat 20, PDRM menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan memfokuskan pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah.

"Untuk ini, semua elemen melibatkan MPV, URB serta rondaan bit akan digerakkan di taman-taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai," katanya.

Kata beliau lagi, pemantauan udara oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) akan dijalankan sepanjang Op Selamat 20 bagi memantau dan mengesan lokasi-lokasi titik panas yang telah dikenal pasti.

Ujarnya, maklumat yang diperoleh daripada pemantauan udara itu akan disalurkan kepada petugas di lapangan untuk tindakan penyuraian trafik dilaksanakan.

"Pengguna jalan raya diminta peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa melalui portal dan saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pihak konsesi lebuh raya.

"Selain itu, orang ramai boleh menggunakan aplikasi navigasi bagi merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.

"Keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat melalui rakaman video atau gambar mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan, supaya tindakan dapat diambil," katanya.