SERAMAI 74 orang kanak-kanak dari Pusat Jagaan Inapan Kasih Sayang menerima sumbangan hari raya iaitu kelengkapan baju raya daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, bagi kanak-kanak lelaki, mereka menerima baju melayu, songkok serta sampin manakala kanak-kanak perempuan menerima baju kurung serta tudung.
Menurutnya, kesemua kanak-kanak tersebut diberi peluang untuk memilih sendiri baju raya yang mereka sukai.
"Pada tahun ini, peruntukan untuk program ini adalah lebih RM11,000 yang mana, sumbangan ini diberikan kepada anak-anak asnaf bagi membolehkan mereka memiliki baju raya pilihan.
"Program ini telah memasuki tahun ke 11 dan kita berharap, ZPP akan boleh beri sumbangan lebih lagi pada tahun-tahun hadapan, namun ia bergantung kepada dana yang kita ada," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembayaran Zakat Perniagaan Korporat dan Pembelian Baju Raya Pelajar Inapan Kasih Sayang di Pasaraya Mydin Bertam, di sini pada Sabtu.
Kata beliau lagi, dengan pemberian sumbangan tersebut, ia diharapkan dapat memberi kegembiraan dan semangat kepada anak-anak asnaf yang terpilih untuk menyambut hari lebaran nanti.
"Saya memanjatkan kesyukuran apabila tahun ini, ZPP sekali lagi dapat menyerahkan sumbangan kepada anak-anak di Pusat Jagaan Inapan Kasih Sayang ini.
"Saya berharap dengan pemberian sumbangan ini, ia akan menggembirakan anak-anak asnaf ini di hari raya nanti," katanya lagi.
Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Inapan Kasih Sayang, Siti Fatimah Md Jaafar berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan usaha ZPP dalam pemberian sumbangan kepada anak-anak di pusat jagaan tersebut.
"Terima kasih kepada ZPP dengan sumbangan ini. Tidak dilupakan kepada pembayar zakat di seluruh Pulau Pinang kerana tanpa mereka, sumbangan seumpama ini tidak dapat diberikan sejak 11 tahun lalu.
"Terima kasih kerana membahagiakan anak-anak ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut minggu hadapan. Saya berharap, mereka yang layak akan terus membayar zakat agar sumbangan seperti ini dapat diteruskan setiap tahun," katanya.
Dalam pada itu, Iman Ikhlas (M) Sdn Bhd (Pasaraya Mydin Bertam) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM150,000 kepadq ZPP.
Penyerahan tersebut dibuat oleh Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara (Iman Ikhlas (M) Sdn Bhd), Datuk Dr Saduruddin Gulam Hussain kepada Amran.