PENYANDANG juara Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu belajar menerima suasana bola sepak baharu setelah menewaskan PDRM FC, 3-0 dalam pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.
Malah, menurut pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari mengakui pendahulu Liga Super itu juga perlu segera menyesuaikan apabila berdepan dengan pasukan seperti The Cops dalam saingan Liga Malaysia.
"Pada separuh masa pertama pemain-pemain JDT tampil dengan karakter positif, memberikan tekanan, mencipta peluang dan menjaringkan gol.
"Bagaimanapun, secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain-pemain JDT sepanjang separuh masa pertama,” katanya sejurus tamat perlawanan pada Jumaat.
Untuk rekod, JDT menewaskan PDRM FC 3-0 hasil jaringan Bergson Da Silva seawal minit ke-3, sebelum penyerang kelahiran Brazil itu menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua pada minit ke-12 dan Leandro Velazquez sekali lagi memanfaatkan sepakan penalti untuk gol ketiga pada minit ke-27.
Mengulas mengenai aksi suku akhir yang bakal menemukan JDT dengan Kuching City FC atau Penang FC, Solari menegaskan pasukannya tidak memilih lawan tertentu sebaliknya mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan.
Malah katanya, setiap peringkat dalam saingan Piala FA merupakan saingan yang mencabar tambahan pula apabila berada pada fasa peringkat kalah mati.
"Pada peringkat seperti ini (kalah mati), permainan akan menjadi sukar biarpun dengan pasukan mana yang ditemui sekiranya pasukan kita tidak melakukan persediaan awal dengan rapi.
"Oleh itu, kita perlu melihat dari satu perlawanan ke satu perlawanan dalam setiap pertandingan selepas ini dalam merancang taktikal pasukan,” katanya.
Sementara itu, Solari mengakui terkilan dengan corak dan tempo permainan yang dipamerkan PDRM FC pada separuh masa kedua berbanding separuh masa pertama.
Katanya, tempo berkenaan termasuk seperti sengaja melengah-lengahkan permainan nyata menjejaskan momentum skuad kendaliannya itu kali ini.
"Ketika rehat separuh masa pertama saya dan pemain-pemain berbincang sebarang kemungkinan berlaku dalam babak kedua seperti melambat-lambatkan masa permainan yang akan menjejaskan rentak pasukan JDT.
"Apa pun, kami harus belajar dan membiasakan diri untuk berdepan situasi sebegini kerana pada akhirnya pemain-pemain perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan permainan berjalan lancar.
"Kami juga perlu mewujudkan suasana positif dalam pasukan apabila berdepan corak permainan pasukan lawan seperti ini,” katanya.