Fisioterapi Rahmah tawar pakej serendah RM5 dan RM20

Iklan
Salahuddin (dua dari kiri) melancarkan Pakej Fisioterapi Rahmah BeVital pada Sabtu.

SELAYANG - BeVital melancarkan Pakej Fisioterapi Rahmah serendah RM20 kepada kumpulan B40 dan RM5 kepada asnaf miskin bagi setiap sesi.

Pengasasnya, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, pakej itu meliputi kesemua perkhidmatan rawatan fisioterapi diperlukan yang harga asalnya ialah RM159.

Iklan
Iklan

Menurutnya, BeVital merupakan satu-satunya pusat fisioterapi yang diuruskan secara perusahaan sosial dengan menyediakan khidmat menyeluruh kepada kelompok terpinggir dan rentan seperti B40, asnaf miskin serta gelandangan.

"Melalui perniagaan cross subsidy, pendapatan dijana daripada rawatan pelanggan di pusat ini dan turut menerima sumbangan orang awam yang akan digunakan untuk memberi subsidi kepada golongan sasaran.

Iklan

"Kami berharap pelaksanaan pakej Fisioterapi Rahmah ini dapat meringankan beban rakyat khususnya kelompok sasaran yang memerlukan rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Pakej Fisioterapi Rahmah yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub di Pusat Fisioterapi BeVital Selayang pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Munawwar Helmi berkata, sempena pakej pelancaran khas tersebut, diskaun 50 peratus akan diberikan kepada pelanggan yang pertama kali ke pusat itu untuk mendapatkan rawatan.

Ujarnya, mereka yang ingin mendapatkan rawatan disyorkan agar membuat janji temu awal bagi melancarkan proses menerima rawatan.

Sementara itu, Salahuddin berkata, inisiatif payung Rahmah melakar satu lagi sejarah apabila bidang perubatan membabitkan bidang fisioterapi turut serta dalam inisiatif tersebut.

"Tawaran ini pasti beri satu berita gembira kepada rakyat memerlukan," katanya.

Beliau berkata, walaupun menawarkan harga Rahmah namun jaminan perkhidmatan yang diberikan setara dengan rawatan fisioterapi yang ditawarkan dengan harga normal.

"Jangan anggap bila pakej Rahmah kualitinya 'cincai'. Bidang fisioterapi memerlukan kepakaran sekurang-kurangnya memiliki ijazah atau diploma dalam bidang itu.

"Petugas adalah terlatih. Kerja ini bukan bagi mencari publisiti murahan tetapi tanggungjawab sosial (CSR) yang BeVital tampil bantu kos sara hidup dan sedikit caj dikenakan untuk menampung operasi dan tambah baik perkhidmatan pada masa akan datang," katanya.