PENGELUAR produk tenusu tempatan terbesar Malaysia, Farm Fresh Berhad meraikan Top Achiever Homedealer bagi tahun 2022 di sini pada Jumaat.
Penyampaian Anugerah Insentif Home Dealer kepada 21 penerima dengan nilai tunai tertinggi RM20,738 itu turut diadakan serentak dengan majlis berbuka puasa.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, program yang bermula sejak 2016 itu diwujudkan bagi memperkasakan usahawan mikro terutamanya golongan wanita untuk menjana pendapatan tambahan dengan mengedar produk keluaran syarikat berkenaan dari pintu ke pintu.
"Peranan mereka dalam pengedaran produk kami ke seluruh negara adalah sangat penting dalam memastikan rakyat Malaysia dapat membeli dan menikmati produk kami walau di negeri mana pun mereka berada,” katanya.
Tambahnya, setelah tujuh tahun dibangunkan, kini Farm Fresh Berhad mempunyai 57 stokis berdaftar, home dealer (818) dan ejen di setiap negeri dan wilayah di seluruh negara (1,017) dengan 80 peratus daripada home dealer merupakan suri rumah.
"Anugerah insentif ini adalah bagi mengiktiraf sumbangan dan prestasi cemerlang Home Dealer Farm Fresh sekali gus menjadi pendorong semangat untuk mempertingkatkan usaha demi mencapai kejayaan dan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, dalam majlis sama, Farm Fresh turut memperkenalkan majalah ‘HD Swipe’ edisi pertama pada April 2023 khas untuk berkongsi maklumat, aktiviti dan kejayaan stokis, home dealer dan ejen.
Jelasnya, ganjaran turut diberikan kepada stokis, home dealer dan ejen terpilih pada majlis berkenaan
"Majlis anugerah seperti ini adalah satu usaha Farm Fresh Berhad untuk meraikan, menyokong dan memberi inspirasi kepada stokis, home dealer dan ejen bagi mencapai kemajuan, meraih kejayaan dan membentuk daya saing bagi mengharungi cabaran dalam berniaga.