KPDN jamin bekalan barangan mencukupi menjelang Aidilfitri

Iklan
Salahuddin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas mencukupi menjelang sambutan perayaan Aidilfitri ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu adalah susulan sesi libat urus yang dilaksanakan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) termasuk agensi-agensi penting seperti Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar serta pihak pembekal.

Iklan
Iklan

"Saya difahamkan bekalan mencukupi menjelang hari raya ini, maka tidak perlu bimbang. Sekiranya terdapat perubahan, KPDN akan memberi notis atau pemberitahuan awal bagi mana-mana bekalan barangan yang tidak mencukupi.

"Tetapi setakat ini jangan bimbang, bekalan keperluan pada masa kini adalah mencukupi. Sehubungan itu rakyat tidak perlu melakukan pembelian panik menjelang sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan harga barangan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 di sebuah pasar raya di sini pada Sabtu.

Salahuddin berkata, SHMMP Hari Raya Puasa 2023 itu akan dilaksana berkuat kuasa pada Sabtu hingga 30 April dengan 30 jenis barangan dikawal di bawah skim itu termasuk enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur, yang telah dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, KPDN telah mengenal pasti sejumlah 1,700 peniaga Rahmah berdaftar di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan dan menu yang berkualiti hasil maklum balas yang diterima daripada pengguna.

"Saya telah berbincang dengan beberapa pihak terutamanya pihak pasar raya, kita akan cuba memperkukuhkan lagi rantaian bekalan khusus kepada para peniaga 'Menu Rahmah' supaya mereka juga boleh diberikan tawaran harga barangan Rahmah," katanya.

Terdahulu, Salahuddin turut melancarkan program Pakej Fisioterapi Rahmah BeVital yang menawarkan khidmat rawatan fisioterapi serendah RM20 bagi golongan B40 dan RM5 untuk golongan asnaf miskin.

Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh Pusat Fisioterapi BeVital terletak di Selayang di bawah 'Payung Rahmah' itu, mampu memberi akses penjagaan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh kepada golongan yang kurang berkemampuan. - Bernama