KOTA BHARU - Kelantan merekodkan sebanyak 280 kes kebakaran membabitkan belukar dan lalang sejak Januari hingga Mac tahun ini berbanding 135 kes sepanjang tahun lepas, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Madasin.
Beliau berkata, faktor cuaca yang panas dan kering ketika ini menyebabkan kebakaran cepat merebak, justeru orang ramai di negeri ini dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan mudah terbakar.
Menurut Zainal, pembakaran terbuka boleh menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan kualiti udara selain memudaratkan kesihatan awam.
"Pembakaran terbuka boleh menyebabkan berlakunya fenomena jerebu. Justeru, kita mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran pada musim kering untuk mengelak sebarang kemungkinan kebakaran yang tidak terkawal,” katanya yang dihubungi Bernama pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, pembakaran hutan dan sampah juga meningkat sejak Januari hingga Mac tahun ini dengan 14 kes direkodkan bagi pembakaran hutan manakala 46 kes pembakaran sampah.
Beliau berkata, sebanyak 15 kes pembakaran hutan manakala 62 kes pembakaran sampah direkodkan di Kelantan sepanjang tahun lepas.
"Bomba tidak akan sesekali berkompromi dengan individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka selain mempertingkatkan rondaan di kawasan yang berisiko tinggi sekiranya keadaan memerlukan.
"Sekiranya ada individu yang masih berdegil melakukan pembakaran terbuka, kami tidak akan teragak-agak melaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk diambil tindakan,” katanya.
Pada Jumaat, JAS dilaporkan memaklumkan dua kawasan mencatatkan bacaan status kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu di Segamat, Johor dan Tanah Merah, Kelantan.
Pada masa yang sama, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut melaporkan daerah Jeli merekodkan cuaca panas pada gelombang haba tahap dua yang suhu hariannya dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, bermula semalam. - Bernama