LANGKAWI - Anak tempatan sewajarnya menggunakan media sosial sebagai platform mempromosikan produk pelancongan tempatan bagi menambah lagi kehadiran pelancong ke negara ini.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, tindakan ini secara tidak langsung akan membawa lebih ramai pelancong apabila mereka tertarik dengan posting-posting yang dimuatnaik.
"Kesempatan ini sewajarnya digunakan oleh masyarakat untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan.
"Ini sebenarnya tidak disedari oleh segelintir masyarakat yang mana mereka juga adalah duta kecil pelancongan negara," katanya selepas merasmikan Misi Kayak Solo Mengelilingi Pulau Lagenda Mahsuri oleh Mohamad Sanizar Din.
Misi berkenaan dijangka mengambil masa selama tiga hari yang bermula dan berakhir Pantai Tanjung Rhu di sini.
Turut hadir ketika perasmian adalah Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim.
Kata Abu Bakar, inisiatif ini adalah usaha sendiri masyarat dalam membantu negara mempromosikan pelancongan dengan lebih meluas.
"Apabila pelancong bertambah pada satu-satu kawasan, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniaga.
"Inilah yang kita harapkan, sekali gus akan meningkatkan pendapatan negara dari aspek pelancongan," katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau berharap agar promosi juga turut diperluas dengan kaedah digital yang mana merupakan trend masa kini.