IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkaitan dakwaan pembayaran lebihan RM9 juta subsidi minyak masak.
Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pada tahun lalu beliau telah pun dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu berkenaan.
Katanya, keterangan diberikan itu bagi menjelaskan kepada SPRM mengenai proses berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.
"Saya bersedia memberikan sekiranya ada lagi maklumat yang diperlukan dan sebagainya. Setakat ini saya beri kerjasama yang baik kepada Bukit Aman dan Bukit Aman membantu saya menyelongkar tentang kes-kes berkaitan penyeludupan minyak masak dan juga diesel.
"Saya sendiri mempengerusikan jawatankuasa ketirisan yang ditekankan oleh Perdana Menteri supaya kita menentang ketirisan habis-habisan dan saya menyahut cabaran untuk melakukan yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa KPDN Bersama Media di Zaha Places di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab laporan portal berita bahawa KPDN berbelanja berlebihan untuk subsidi minyak masak tahun lalu sehingga menyebabkan siasatan rasmi dijalankan.
Terdahulu dalam sidang akhbar berasingan, Azman menjelaskan pembayaran lebihan RM9 juta subsidi minyak masak tidak pernah berlaku seperti didakwa sebuah portal berita.
Jelas beliau, pihaknya memantau operasi edaran minyak masak bersubsidi di pasaran sebelum bayaran subsidi dibuat.
"Kita kawal dari dari segi pembayaran subsidi ini. Berdasarkan prestasi tahun lepas, (pembayaran) tidak melepasi langsung nilai 60,000 tan metrik tersebut. Jadi tak berlaku yang mengatakan kita membayar lebih seperti mana dinyatakan.
"Kita harus lihat bahawa di antara pemikiran teori dengan praktikal adalah satu yang berbeza. Praktikal berbeza sikit pelaksanaannya," katanya ketika Sesi Tinjauan Mesra Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di sebuah pasar raya di sini.
Hadir sama pada sesi itu, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.