PATTANI - Tiga insiden serangan yang menyasarkan stesen kereta api berlaku serentak pada Jumaat malam di tiga wilayah selatan Thailand.
Di YALA, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) pada Jumaat, landasan kereta api di pekan Yala rosak selepas dua lelaki melontarkan bom paip dan menyasarkan anggota polis yang sedang bertugas.
Pemangku Ketua Stesen Kereta Api Yala, Thada Boorueang berkata, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal melontarkan bom paip ke arah anggota yang sedang bertugas.
"Anggota polis berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
"Landasan kereta api mengalami sedikit kerosakan. Pasukan teknikal akan membuat pemeriksaan dan penilaian. Kerja-kerja pembaikan akan dimulakan secepat mungkin,” katanya.
Di PATTANI, insiden tembakan rambang dilaporkan berlaku di Stesen Kereta Api Wat Chang Hai dan Pattani di daerah Khok Pho.
Ketua Polis Wilayah Pattani Mejar Jeneral Archan Chansiri berkata, dalam insiden kira-kira jam 8.20 malam itu, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan secara rambang ke arah kedua-dua stesen kereta api.
Namun, tiada orang awam di tempat kejadian kecuali polis dan pegawai State Railway of Thailand (SRT).
"Polis menemukan 13 kelonsong peluru jenis M16 di tempat kejadian,” katanya.
Di NARATHIWAT, insiden berbalas tembakan berlaku antara polis dengan sekumpulan lelaki bersenjata di Stesen Kereta Api Chok Irong.
Dalam insiden kira-kira jam 8.30 malam itu, Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Anurut Im-arb berkata, sekurang-kurang 10 lelaki bersenjata telah mengepong Stesen Kereta Api Chok Irong dan melepaskan tembakan.
"Insiden berbalas tembakan berlaku kira-kira 10 minit. Tiada kecederaan dilaporkan. Serangan itu dipercayai untuk menimbulkan suasana panik dalam alangan penduduk tempatan,” katanya. - Bernama