PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri telah menyenaraikan keperluan buat dirinya bagi menggalas cabaran negara memburu pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Menerusi projek Road To Gold (RTG) penerjun berusia 24 tahun berharap dapat memperoleh sistem sokongan yang berkesan dan bersistematik bagi meningkat prestasi seterusnya mampu mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan.
"Saya juga sudah berbincang dengan Datuk Pandelela (Rinong) dan senaraikan bentuk sokongan dan bantuan yang kami perlukan.
"Namun saya tidak boleh beritahu semua keperluan itu, sebab belum berjumpa dengan RTG (jawatankuasa),” katanya kepada Sukan Sinar ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu dan Pandelela disenaraikan bersama 11 pemain badminton dan dua pelumba negara sebagai atlet dalam projek RTG baru-baru ini.
Dhabitah memberitahu, keperluan buat dirinya secara umum melibatkan sokongan fisioterapi, perubatan dan kumpulan staf yang boleh bantu tingkatkan prestasinya.
Katanya, teknik biomekanik dan kelengkapan video juga penting buat dia dan Pandelela dalam usaha mereka membaiki segala kelemahan dalam terjunan.
Di sebalik peluang disenaraikan dalam projek tersebut, Dhabitah meluahkan rasa syukur dengan peluang serta kepercayaan yang diberikan dan tekad memberikan yang terbaik.
"Alhamdulillah. Pada mulanya saya sangka nama tak naik, namun syukur ada nama saya dan Pandelela. Saya sebenarnya harap ramai lagi nama atlet terjun boleh naik (disenarai), tapi lebih baik daripada tiada langsung,” katanya.
Menyentuh mengenai permintaan untuk menyertai lebih banyak kejohanan Dhabitah memberitahu, ia bergantung kepada proses pemulihan yang mereka lalui selepas menyertai sesuatu kejohanan.
Tambahnya, skuad terjun akan pergi ke Kanada sebagai persediaan untuk menghadapi Kejohanan Dunia bulan depan.
"Kena fikir hal itu (recover), tak boleh suka-suka hati nak sertai kejohanan macam itu sahaja,” katanya.
Menurut Dhabitah daripada aspek psikologi, dia bersama rakan skuad terjun sudah saling memahami dan membantu antara satu sama lain.
"Tekanan memang ada sebab orang sentiasa tengok (prestasi). Jadi saya kena tunjuk yang terbaik,” katanya.