SHAH ALAM – Pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari terutamanya golongan pelajar berpeluang mencuba secara hands-on menghasilkan animasi 3 dimensi (3D) di reruai Les’ Copaque Animation Academy (LCAA).
Itu antara aktiviti menarik yang ditawarkan LCAA sepanjang karnival berlangsung bermula 10 hingga 12 Mei depan di Dataran Karangraf di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif LCAA, Ahmad Akmal Ahmad Zaini berkata, pihaknya akan berusaha untuk memberi pendedahan dengan lebih mendalam tentang penghasilan animasi 3D kepada pengunjung yang berminat dengan bidang berkenaan.
"Kami akan membawa komputer yang sudah tersedia pengisian dalam menghasilkan animasi sama seperti yang digunakan di LCAA dan Les’ Copaque Production.
"Pengunjung yang berminat dan kreatif untuk menghasilkan sebarang animasi boleh mencubanya di reruai kami sepanjang karnival berlangsung.
"Dengan ini juga, pengunjung bukan sahaja dapat menonjolkan bakat terpendam tetapi turut mempelajari dengan lebih teliti tentang penghasilan dunia animasi,” ujarnya.
Selain itu, tambah Ahmad Akmal lagi, pihaknya akan memberi pendedahan tentang LCAA yang merupakan salah sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf kolej dan dimiliki serta diusahakan sendiri oleh Les’ Copaque Production.
Ia menawarkan program Diploma Animasi 3D yang memberi pendedahan tentang pengajian animasi serta berasaskan silibus pembelajaran yang telah diolah sendiri oleh pakar-pakar daripada Les’ Copaque Production.
Bagi menarik lebih ramai pelajar yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan, tenaga pengajar dari LCAA akan turun padang untuk memberi pendedahan dan mengetengahkan modul pembelajaran.
LCAA juga akan memperlihatkan hasil kerja atau portfolio yang dihasilkan oleh pelajar atau alumni bagi tujuan mengetengahkan kandungan digital kepada pengunjung.
Sementara itu, Ahmad Akmal berkata, terdapat pelbagai aktiviti menarik dan hadiah misteri yang disediakan bagi menarik minat pengunjung untuk bersama-sama memeriahkan kernival tersebut.