ERLING Haaland menyamai rekod jaringan semusim Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam 38 perlawanan pada Ahad ketika Manchester City merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Arsenal kepada hanya tiga mata.
Penyerang Norway itu menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama ketika kemenangan 3-1 City ke atas Leicester sekali gus menyamai rekod 32 gol yang dicipta penyerang Liverpool, Mohamed Salah pada musim 2017-18.
Iklan
Iklan
John Stones membuka jaringan untuk tuan rumah sebelum Haaland menyempurnakan sepakan penalti dan disusuli dengan satu gol menarik.
Pep Guardiola menggantikan pemain berusia 22 tahun itu ketika rehat, sekali gus memaksa Haaland untuk menanti perlawanan seterusnya bagi memburu rekod 34 gol dalam satu musim di era EPL yang dicatat ketika setiap pasukan perlu mengharungi 42 perlawanan berbanding 38 sekarang.
City, yang memburu kejuaraan Liga Perdana kelima dalam tempoh enam tahun, mengumpul 70 mata, tiga mata di belakang Arsenal dengan baki lapan perlawanan - The Gunners menentang West Ham hari ini.
"Seperti yang saya katakan akhir-akhir ini, ia adalah menang, menang dan menang. Mereka telah mengharungi keputusan yang luar biasa musim ini dan saya tidak fikir mereka akan kehilangan banyak mata.
"Jadi, apa yang kita perlu lakukan adalah terus mengejar," katanya.