SEREMBAN - Jika Aidilfitri tahun lalu peniaga bazar malam Aidilfitri Dataran Senawang di sini boleh tersenyum dengan hasil jualan mereka, tetapi sebaliknya berlaku tahun ini.
Meskipun hanya tinggal beberapa hari saja lagi menjelang Aidilfitri, namun peniaga mendakwa jualan kali ini tidak begitu memberangsangkan.
Malah ada sesetengah peniaga yang barang jualannya masih banyak belum terjual.
Menurut peniaga, Mohd Aliff Haiqal Mohd Affendi, 23, kesesakan jalan sebelum memasuki bazar berkenaan bukanlah jaminan peniaga akan memperoleh hasil jualan yang menguntungkan.
"Orang datang memang ramai, tapi yang membeli itu kurang. Kebanyakan yang datang sekadar cuci mata.
"Ada yang beritahu mereka nak meninjau harga dahulu. Saya rasa ramai orang berhati-hati untuk berbelanja kerana mereka sebelum ini sudah banyak keluar duit untuk buat persiapan sekolah anak-anak," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Malah keadaan itu kata Mohd Aliff, bukan saja berlaku di situ tetapi juga di bazar Aidilfitri lain.
Dia yang berniaga bazar di Aidilfitri sejak tahun 2013 berkata, jika tahun lalu dia terpaksa menambah stok seluar yang dijualnya beberapa kali tetapi tidak kali ini.
"Tahun lepas, semua seluar yang saya jual dengan harga RM50 semuanya habis.
"Tapi tahun ini saya jual dengan harga lebih murah pun pelanggan kurang. Harapnya pelanggan buat pembelian saat akhir nanti," katanya.
Peniaga barangan aksesori lelaki, Khairul Annuar Jaafar, 28, turut mengakui perkara sama malah menyifatkan tahun ini jualannya paling teruk.
Ujarnya, jika hari bekerja keadaan di bazar itu agak lengang berbeza berbanding tahun lalu.
"Kita mengharapkan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saja. Pengunjung itu memang ada.
"Tapi yang kita nampak banyak pengunjung hanya jalan dengan tangan kosong saja, mungkin ramai yang rasa perlu berhati-hati untuk berbelanja," katanya.
Sementara itu, Muhammad Izzat Yusuf, 34, pula berkata, tahun ini dia lebih banyak temenung dan ada hari yang khemahnya langsung tidak dikunjungi pelanggan.
Katanya, jualan kali ini sangat perlahan meskipun harga baju kurung dan baju Melayu yang dijualnya sama saja dengan tahun lepas.
"Harapnya masuk minggu terakhir Ramadan esok, orang ramailah turun membeli," katanya.