MBI runding wujudkan galeri seni ilham Mamat Khalid

Iklan
Allahyarham Mamat Khalid

IPOH - Proses rundingan sedang dijalankan di antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan waris Allahyarham Mamat Khalid bagi mewujudkan sebuah galeri seni di Ipoh, kata Datuk Bandar Datuk Rumaizi Baharin.

Katanya, pihaknya perlu mendapatkan persetujuan daripada waris Allahyarham bagi menempatkan barangan dan karyanya di galeri ilham Mamat Khalid yang akan bertapak di Kampung Kuchai, di sini.

Iklan
Iklan

"Kita memang kena buat rundingan dengan waris. Kalau kita buat (galeri) sekali pun, tetapi barangan itu tiada persetujuan untuk diletakkan di galeri, maka rugilah. Kalau waris setuju, baru kita boleh teruskan.

"Kalau waris setuju maka kita akan bawa ke peringkat kerajaan negeri. Setakat ini masih belum dapat pengesahan dari keluarganya. Kita sudah berjumpa dengan waris (anak arwah) sebanyak dua kali," katanya lagi.

Iklan

Rumaizi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status galeri seni ilham Mamat Khalid yang sebelum ini dikatakan akan diwujudkan di kawasan Kampung Kuchai.

Ia bagi merealisasikan rundingan di antara MBI dengan Allahyarham Mamat Khalid semasa hayatnya.

Iklan

Ditanya sama ada pihaknya optimis projek itu akan dijayakan dalam masa terdekat, beliau berkata peluang itu cerah berikutan keluarga Allahyarham yang memberi kerjasama baik.

"InsyaAllah setakat ini saya rasa mereka memang berminat, cuma mungkin ada beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum galeri itu dapat direalisasikan," katanya.

Terdahulu, Rumaizi ditemui pemberita selepas merasmikan program Pesta Panjut Antara Sektor MBI di Padang Ipoh, malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan, sebuah galeri seni bakal diwujudkan di kawasan Kampung Kuchai di Ipoh.

Galeri berkenaan akan memberi nilai tambah kepada produk pelancongan negeri, khususnya di Pekan Lama, Ipoh.

Sepanjang kerjaya seninya, Allahyarham Mamat telah menghasilkan banyak filem yang berjaya di pasaran seperti Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Mak Laksa, Rock Oo Rock Bro dan banyak lagi.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, sutradara kelahiran Ipoh, meninggal dunia pada usia 58 tahun pada 24 Oktober 2021. - Awani