SHAH ALAM - Pas Selangor menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyentuh isu penyatuan dan perpaduan ummah khususnya umat Islam di Selangor.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, baginda menzahirkan kebimbangan perpecahan akibat perbezaan pendirian politik boleh menyebabkan orang Melayu terus lemah, hilang kuasa memerintah, menjadi bangsa mundur dan terpinggir di tanah air sendiri.
Menurutnya, Pas Selangor turut berkongsi kebimbangan sama dan menyeru orang Melayu memberi sokongan ke atas usaha menyatupadukan ummah demi membinakekuatan politik dalam negara.
Pada masa sama, beliau berkata, Pas Selangor turut memandang serius nasihat baginda agar rakyat tidak salah memilih pemimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
"Pas Selangor memberi komitmen akan membariskan calon-calon yang berintegiriti, kompeten dan bebas rasuah sebagai pilihan terbaik buat rakyat Selangor.
"Demi menjunjung undang-undang serta menghormati proses demokrasi, Pas Selangor berikrar akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada baginda dan mengamalkan budaya politik yang matang dan sejahtera sepanjang tempoh kempen PRN nanti," katanya.
Jumaat lalu, Sultan Sharafuddin pada Majlis Perasmian Masjid Al-Ma'arufiah, Kampung Parit Baru, Sungai Air Tawar menzahirkan kebimbangan sekiranya perpecahan dalam kalangan orang Melayu akibat perbezaan fahaman politik akan membuatkan umat Islam terus lemah di negara ini.
Baginda menyeru semua nazir dan imam Selangor supaya memandang serius berkenaan penyatuan ummah dan memastikan institusi itu memainkan peranan sebagai pusat perpaduan umat Islam melalui ibadah, dakwah, pengajian dan program kemasyarakatan.
Baginda turut mengingatkan program dijalankan tidak dipergunakan untuk kepentingan golongan-golongan tertentu.
Baginda juga menasihati rakyat Selangor agar sentiasa mengelakkan daripada sebarang sengketa dan permusuhan sesama sendiri.