NEGERI Sembilan FC (NSFC) perlu mempertajamkan penyudah apabila berdepan Selangor FC pada suku akhir Piala FA untuk terus mara dalam saingan itu.
Meskipun menewaskan pasukan Liga M3, PIB Shah Alam FC 2-0 di Stadium Tuanku Rahman Paroi di sini, malam tadi untuk menjadi antara lapan pasukan ke suku akhir, Ketua Jurulatih NSFC K. Devan berkata, pasukannya gagal memanfaatkan banyak peluang bagi menghasilkan jaringan lebih besar.
"Saya rasa taktikal permainan itu sudah ada tetapi penyudah, skil individu, penyerang dan pemain yang dapat peluang (untuk jaringan) agak longgar, kita perlu latihan lebih baik pada intensiti tinggi supaya yakin untuk jaringkan gol bila dapat peluang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.
Beliau berkata, penyudah yang tajam akan memberikan kelebihan buat pasukannya apabila berdepan Selangor yang memiliki barisan pemain berkualiti.
Skuad Gergasi Merah menempah tiket ke suku akhir dengan bergaya apabila menewaskan Sri Pahang 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.
"Mereka ada kelebihan dari segi kualiti pemain dengan rata-rata pemain tempatan adalah pemain kebangsaan...kita kekurangan dari segi itu tapi kita tak boleh bandingkan, kita akan buat yang terbaik dalam 90 minit atas padang,” katanya.
Selain aksi Selangor bertemu Negeri Sembilan, juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) dijadual bertemu Penang FC, Terengganu FC bertemu Kelantan FC, Sabah FC bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi suku akhir yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini. - Bernama