SUNGAI PETANI - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan bagi Program Jualan Syawal Madani di sembilan lokasi seluruh Kedah mencecah RM1.2 juta.
Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah berkata, nilaian paling tinggi dianggarkan mampu dicapai di Pasar Tani Kekal (PTK) Guar Chempedak iaitu sebanyak RM937,000.
Menurutnya, sasaran itu diyakini mampu dicapai hasil kerjasama usahawan yang menawarkan penjimatan harga di samping usaha FAMA menyediakan platform kepada pengguna bagi mendapatkan bekalan segar pada harga berpatutan sekali gus memudahkan pengunjung berbelanja sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
"Apa yang menarik di Pasar Tani Sungai Petani ini ialah terdapat penawaran harga istimewa daging segar tempatan yang dijual dengan harga penjimatan sebanyak RM5 sekilogram (kg), manakala ayam proses dengan penjimatan RM2 seekor menggunakan kupon.
"Manakala telur ayam gred B dijual pada harga RM10 sepapan dan set kombo stok bekalan makanan termasuk bawang besar, bawang merah, bawang putih, kentang dan minyak masak satu kg dijual pada harga RM10," katanya.
Beliau ditemui media ketika Pelancaran Jualan Syawal Madani di Pasar Tani Sungai Petani di sini pada Ahad.
Pelancaran disempurnakan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Zaiton Yahya, Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Ilias Shuib.
Isa dalam masa sama memberi jaminan bahawa bekalan barangan segar adalah mencukupi menjelang musim perayaan yang akan disambut tidak lama lagi.
Sementara itu, Mohammed Taufiq berkata, kemudahan yang disediakan kepada orang ramai mendapatkan barangan segar pada harga berpatutan, memberi peluang rakyat membuat persediaan lebih awal.
Selain di Sungai Petani pada 16 April, lapan lokasi lain dianjurkan Jualan Syawal Madani termasuk Guar Chempedak, Yan pada 15 hingga 21 April, Pasar Tani Kulim pada 17 April, Agrobazaar Rakyat Selama dan Pasar Tani Pendang pada 18 April.
Manakala Pasar Tani Taman Wira Alor Setar dan Pasar Tani Baling pada 19 April, Medan Food Truck FAMA Alor Setar dan Pasar Segar Mr Jasem, Langkawi pada 20 April depan.