Noh dedah pernah dipelawa jadi calon PN PRU15

Iklan
Noh (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Anak Yatim Tanjong Karang di Dewan Terbuka Taman Seri Setia Tanjong Karang pada Ahad.

TANJONG KARANG - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mendedahkan pernah dipelawa menjadi calon Perikatan Nasional (PN) selepas namanya tidak disenarai untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Noh berkata, selepas namanya digugurkan menjadi calon Barisan Nasional (BN) terdapat pelawaan untuk beliau bertanding di Parlimen Tanjong Karang.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, beliau menolak pelawaan itu atas semangat setia dan sayangkan UMNO.

"Saya orang parti dan setia kepada UMNO, tetapi akhirnya saya pula yang dikenakan tindakan kerana hendak menegakkan kebenaran," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Anak Yatim Tanjong Karang di Dewan Terbuka Taman Seri Setia Tanjong Karang pada Ahad.

Iklan

Noh memberitahu, pada masa ini beliau lebih senang mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung masa depannya dalam politik.

Pada masa sama katanya, beliau mengakui masih menjadi penyokong kuat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iklan

Tambah beliau, hubungannya dengan Najib rapat dan selepas dipecat daripada UMNO beliau sempat bertemu dengannya di mahkamah.

"Apabila berjumpa dengan Najib, saya dapatlah bersalam dan berborak dengan beliau, malah Najib menasihatkan saya banyakkan bersabar dan jangan lari daripada UMNO.

"Saya kata Insya-ALLAH, kalau bos (Najib) ada tentu saya dengan bos," ujarnya.