Buka puasa di tanah kubur dibimbangi langgar adab, akhlak - Mufti

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Mohamad Shukri (kanan).

KOTA BHARU - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan tindakan berbuka puasa di pekarangan tanah perkuburan kurang sesuai untuk dilakukan.

Beliau bimbang tindakan itu boleh menimbulkan pelanggaran adab-adab dan akhlak semasa berada di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sebagai contoh masa ziarah kubur, kalau tidak pakai tudung (golongan wanita) perkara tersebut kurang elok atau semasa berbuka puasa bergaul dengan yang tidak sepatutnya...umpamanya.

"Itu akan jadi masalahnya. Jelaslah kalau begitu ia menjadi pelanggaran akhlak. Saya berpandangan eloklah cari tempat yang lebih sesuai, berbuka puasa di tempat lapang tiada salahnya sebagaimana yang dilakukan ketika ini seperti di atas padang," katanya selepas diminta mengulas mengenai tindakan penduduk mengadakan aktiviti berbuka puasa di kawasan tanah perkuburan.

Iklan

Mengulas mengenai tahlil di kawasan perkuburan, Mohamad Shukri memberitahu, perkara tersebut tidak mendatangkan masalah.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan penduduk di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh mengambil pendekatan mengadakan majlis berbuka puasa di tanah perkuburan bagi mengeratkan silaturahim sanak saudara yang masih hidup.

Iklan

Pengarah program, Tuan Wi Tuan Ya berkata, ia merupakan acara tahunan mereka bagi memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia.