Jualan Syawal MADANI: FAMA Johor sasar nilai jualan RM2.25 juta

Iklan
FAMA

MUAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor menyasarkan nilai jualan sebanyak RM2.25 juta menerusi Jualan Syawal MADANI yang dibuka di 29 outlet di negeri itu.

Iklan
Iklan

Pengarah FAMA Negeri Johor, Shahrizan Sudiman berkata, kesemua outlet itu terdiri daripada pasar tani, pasar tani kekal dan Agrobazaar Rakyat (ABR) dan ia bertujuan membantu pengguna mendapatkan keperluan Aidilfitri.

Katanya, selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri tempatan termasuk ketupat, burasak dan lepak loi.

Iklan

"FAMA Johor akan berusaha memastikan bekalan di setiap lokasi di seluruh negeri ini mencukupi dan para pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan.

"Program Syawal MADANI di 29 outlet ini mampu menampung sedikit sebanyak keperluan hari raya untuk para pengguna," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan
Beliau berkata, program tersebut mendapat kerjasama daripada jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Bagaimanapun, menurut Shahrizan FAMA Negeri Johor hanya membekal barangan keperluan, manakala pengawalan harga tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Setiap usahawan di outlet pemasaran FAMA hendaklah mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023 yang dikeluarkan oleh pihak KPDN," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelancaran Jualan Syawal MADANI yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang Selamat Takim di Perkarangan Pasar Tani Stadium Muar di sini. - Bernama