Cheras, Segamat, Tanah Merah catat IPU tidak sihat

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama

SHAH ALAM - Tiga kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bacaan tidak sihat iaitu Segamat, Johor; Cheras, Kuala Lumpur dan Tanah Merah, Kelantan setakat jam 3 petang ini.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kadar IPU Segamat mencatatkan bacaan 152; Cheras, 106 manakala Tanah Merah, 104.

Iklan
Iklan

Bacaan IPU di Segamat dan Tanah Merah meningkat daripada angka 96 dan 102 manakala Cheras pula kini merekodkan sedikit penurunan berbanding 107 yang dicatatkan pada jam 12 tengah hari tadi, namun masih kategori tidak sihat.

Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Iklan

Sebanyak 68 stesen pula mencatatkan bacaan sederhana, dengan Kota Bharu, Kelantan merekodkan angka tertinggi iaitu 100, diikuti Kuala Terengganu, 95; Nilai, Negeri Sembilan (94); Putrajaya (93); Jerantut, Pahang (89); Minden, Pulau Pinang (89); Alor Setar dan Tangkak masing-masing 88.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan IPU di Segamat, Johor dan Kota Bharu, Kelantan, kekal mencatat bacaan tidak sihat setakat jam 10 pagi tadi.

Iklan

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kadar IPU Segamat mencatatkan bacaan 151, manakala Kota Bharu 113.