'Bubur Che Minah Sayang' juadah berbuka penghuni penjara Penor

Iklan
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memasak bubur lambuk ketika berangkat tiba mencemar duli pada Majlis Memasak Bubur Lambuk bersama warga Penjara Penor pada Ahad. - Foto: Bernama

KUANTAN - Bubur lambuk resipi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjadi juadah berbuka puasa istimewa penghuni Penjara Penor di sini hari ini, selepas Seri Paduka Baginda berkenan mencemar duli berangkat memasak juadah itu di pekarangan bengkel tenun di penjara itu.

Tunku Azizah secara berseloroh turut berkenan menamakan bubur lambuk yang antara bahannya ialah santan, udang kering, isi ikan dan sayur-sayuran yang disediakan itu, sebagai 'Bubur Che Minah Sayang' bersempena nama Seri Paduka Baginda.

Iklan
Iklan

"Kalau di Pahang, kita panggil bubur lambuk itu yang ada daun, tapi di KL (Kuala Lumpur) bubur (yang diisi) daging pun dipanggil bubur lambuk. Jadi saya nak tukar nama, tak nak panggil bubur lambuk dah .... Bubur Che Minah kerana Tuanku Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) panggil saya Che Minah.

"Harap-harap semua cukup sedap, cukup rasa kerana kita semua berpuasa, jadi tak boleh merasa," titah Tunku Azizah semasa ditemui pada Majlis Memasak Bubur Lambuk Bersama Penjara Penor pada Ahad.

Iklan

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad, Pengarah Penjara Pahang Datuk Abu Hasan Hussain dan Pengarah Penjara Penor Fayrouz Ahmad Zawawi.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa melawat bengkel tenun Pahang Diraja ketika berangkat tiba mencemar duli pada Majlis Memasak Bubur Lambuk bersama warga Penjara Penor pada Ahad. - Foto: Bernama

Selain itu, Tunku Azizah juga menyifatkan pengalaman pertama mencemar duli memasak di penjara itu adalah untuk menunaikan janji yang dibuatnya kepada penghuni yang"berada” di bengkel tenun penjara berkenaan.

Iklan

"Saya sudah berjanji dengan mereka di tempat tenun untuk datang memasak... teringat pula (sekarang) bulan puasa, jadi saya kata buat bubur lambuk. (Tapi) tak baik jika hanya bagi pada mereka (penghuni bengkel tenun). Disebabkan itu, saya belanja seluruh penghuni penjara ini," titah Seri Paduka Baginda.

Tunku Azizah juga berhasrat supaya program sedemikian dapat dijadikan acara tahunan dan turut melibatkan penjara lain.

Pada majlis itu, sebanyak tiga periuk bersaiz besar digunakan untuk menyediakan juadah itu dengan kerjanya bermula pada pukul 10 pagi, yang dijangkakan dapat menghasilkan lebih 2,500 mangkuk bubur lambuk.

Sementara itu, seorang penghuni yang dikenali sebagai Fauzi, 42, berkata ia merupakan pengalaman kali pertama dia membantu menyediakan juadah itu kerana bubur lambuk Pahang agak berbeza daripada yang pernah dimakannya di kampung halaman di Sarawak.

"Seronok sebab dah lama tak dapat bergotong-royong memasak pada bulan puasa atau sebelum raya... walaupun tak sama seperti pengalaman di dapur bersama keluarga, sekurang-kurangnya dapat mengubat rindu kepada suasana itu," katanya yang sudah 16 tahun berada di penjara kerana kesalahan merogol.

Seorang lagi penghuni, Arif, 45, berkata, pengalaman itu"baharu” buat dirinya kerana tidak pernah membeli apatah lagi memasak bubur lambuk walaupun berasal dari Shah Alam, Selangor dan pernah menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang popular dengan juadah itu sepanjang Ramadan.

"Nasib baik saya selalu tolong mengacau dodol di kampung ... tak kekok untuk kembali mengasah bakat hari ini kerana bubur lambuk perlu sentiasa dikacau supaya tidak berkerak di dasar periuk," katanya yang akan beraya buat tahun ke-22 di balik tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara 41 tahun kerana kesalahan rompak dan rogol.

Anak jati Kuantan, Seelan, 28, pula menyifatkan dirinya menanggung kerja yang"paling berat” kerana ditugaskan untuk menjadi"tukang rasa” kesemua tiga periuk bubur itu bagi memastikan hidangan itu cukup rasa.

Dia yang menjalani hukuman penjara enam tahun kerana merompak juga menyifatkan pengalaman itu sebagai antara kenangan yang baik kepadanya sebelum dibenarkan keluar tahun hadapan. - Bernama