SHAH ALAM - Empat kawasan melibatkan Segamat, Johor; Cheras, Kuala Lumpur; Kuala Terengganu, Terengganu dan Kota Bharu, Kelantan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 malam ini.
Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kadar IPU Segamat mencatatkan bacaan 153; Cheras (118), Kuala Terengganu (110) dan Kota Bharu (109).
Iklan
Iklan
Bacaan IPU di Cheras, Kuala Terengganu dan Kota Bharu meningkat daripada angka 115, 110 dan 109 yang dicatatkan pada jam 6 petang tadi, sementara Segamat kekal dengan bacaan yang sama sejak jam 5 petang tadi.
Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
Sebanyak 63 stesen pula mencatatkan bacaan sederhana, dengan Tanah Merah, Kelantan merekodkan angka tertinggi iaitu 100, diikuti Seberang Jaya, Pulau Pinang (98), Putrajaya (97), Jerantut, Pahang dan Seremban, Negeri Sembilan masing-masing (89).
Selain itu, Kemaman, Terengganu dan Tangkak, Johor turut mencatatkan bacaan sama iaitu 87, manakala Temerloh, Pahang (85).