Masjid, bangunan kerajaan terbakar di Jerantut dan Rompin

Iklan
Kebakaran yang berlaku pada petang Ahad memusnahkan 80 peratus struktur bangunan masjid Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut pada Ahad. Gambar kanan: Blok bangunan empat tingkat yang menempatkan pejabat beberapa agensi kerajaan di Rompin terbabit dalam kebakaran pada Ahad.

KUANTAN - Masjid Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut musnah dalam kebakaran yang berlaku pada petang Ahad.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kebakaran yang dilaporkan pada jam 6.57 petang itu memusnahkan 80 peratus struktur bangunan masjid tersebut.

Iklan
Iklan

"Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut ke lokasi untuk operasi pemadaman.

"Operasi turut dibantu anggota dan jentera dari BBP Jengka," katanya.

Anggota bomba membantu memadamkan kebakaran melibatkan masjid Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut pada Ahad.

Iklan

Bagaimanapun, menurutnya tiada mangsa atau jemaah terlibat dalam kejadian itu

Zulfadli berkata, pihaknya menggunakan dua aliran hos dari tangki pam jentera bomba untuk mengawal dan memadamkan kebakaran tersebut.

Iklan

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah bangunan pentadbiran yang menempatkan pejabat beberapa agensi kerajaan di Rompin turut terbakar pada petang Ahad.

Beliau berkata, kebakaran yang dilaporkan jam 6.55 petang itu melibatkan pejabat Rela, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rompin.

Menurutnya, kebakaran melibatkan blok bangunan empat tingkat itu dipercayai bermula dari pejabat Rela yang berada di tingkat bawah.

"Operasi pemadaman dilakukan sepasukan bomba dari BBP Rompin dibantu pihak polis dan orang awam.

"Punca kebakaran dua bangunan tersebut masih dalam siasatan," katanya.