LABUAN - Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan atas dakwaan menumbuk seorang pemandu berdekatan lampu isyarat Jalan Patau-Patau pada 12 April lalu.
Video kejadian yang tular itu turut disusuli dengan laporan polis oleh mangsa yang mendakwa ditumbuk beberapa kali oleh suspek sebelum bertindak mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.
Iklan
Iklan
Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, suspek didakwa bertindak sedemikian akibat marah terhadap mangsa mengenai penggunaan isyarat lampu kenderaan sebelum masuk ke jalan sebelah kanan.
"Isteri mangsa turut ada bersama pada masa kejadian menyebabkan mangsa ketakutan," ujar beliau dalam kenyataan media pada hari Ahad.
Susulan laporan yang dibuat, suspek ditahan pada jam 3.45 petang, Ahad bagi membantu siasatan.
Pihak polis turut mengingatkan orang awam agar menghentikan sebarang spekulasi mengenai video tular berkenaan yang boleh membawa kegusaran awam selain mengganggu siasatan kes.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 45 saat memaparkan seorang lelaki menuju ke arah sebuah kenderaan yang kemudiannya membawa kepada pertengkaran dengan pemandu berkenaan sebelum lelaki tersebut didakwa menumbuk muka mangsa beberapa kali sehingga berdarah. - Awani