KHARTOUM - Bekas Perdana Menteri Sudan, Abdallah Hamdok mendesak supaya gencatan senjata dikuatkuasa segera ketika korban akibat konflik kini melepasi angka 59 orang.
Pada masa sama, beliau menuntut supaya pihak bertelagah kembali ke meja rundingan.
"Kerana itu kami menuntut supaya gencatan senjata dikuatkuasa untuk mencapai perjanjian yang akan menamatkan pertempuran ini secara kekal.
"Kami memerlukan sekurang-kurangnya satu perjanjian damai untuk mewujudkan koridor kemanusiaan yang akan membenarkan orang awam mendapat akses kepada ubat-ubatan, rawatan dan makanan," katanya.
Pertempuran antara pasukan tentera yang diketuai Jeneral Abdel Fattah Al Burhan, Ketua Majlis Peralihan Sudan dan Pasukan Separa Tentera (RSF) dipimpin Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo yang juga Timbalan Ketua Majlis Peralihan tercetus pada Sabtu.
Ia merupakan pertempuran pertama sejak kedua-dua pepimpin menyertai gerakan untuk menggulingkan veteran politik Omar Hassan Al Bashir pada tahun 2019.
Pertempuran dipercayai akibat pertelagahan berkaitan integrasi pasukan RSF ke dalam angkatan tentera sebagai sebahagian peralihan ke kerajaan awam.
Hamdok dalam pada itu menolak campur tangan asing dalam konflik tersebut.
Beliau sebaliknya mendesak komuniti antarabangsa menyokong rundingan antara pasukan tentera berkenaan. - Awani