Novel Petrichor beri mesej bangkit dari kegagalan

Iklan
Penulis novel, Nurul Syahida Kamarudin bersama karyanya bertajuk Petrichor.

SHAH ALAM - Novel bertajuk 'Petrichor' memberi mesej kepada pembaca terutama wanita di luar sana supaya bangkit meneruskan kehidupan biarpun menghadapi fasa kesukaran selain menempuh pelbagai dugaan.

Penulis novel tersebut, Nurul Syahida Kamarudin berkata, walaupun terdapat pihak yang merasakan sudah terlambat mengubah kehidupan selepas mengalami kegagalan namun peluang tersebut masih ada sekiranya mempunyai keinginan untuk berubah.

Iklan
Iklan

"Kita rasa macam alami kegagalan pada usia tua dan tidak boleh 'move on' (teruskan hidup) namun masa itu masih ada. Setiap orang tetap boleh teruskan kehidupan dan bina hidup baharu.

"Sekarang ini banyak isu viral pasal rumah tangga atau benda kita dengar dari sebelah pihak sahaja yang mana kita sendiri tak tahu cerita sebenar.

Iklan

"Jadi dalam novel ini ada dua watak yang berbeza dan mempunyai kisah tersendiri. Kita mahu tekankan pada pembaca bahawa tidak semua dilihat dari luaran itu sama seperti mana sebenarnya yang berlaku iaitu 'don't judge a book by its cover',” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nurul Syahida juga berharap novel bergenre cinta, kekeluargaan dan kehidupan tersebut bakal mendapat sambutan daripada peminat novel seluruh negara sekali gus memberi inspirasi kepada penulis buku lain untuk menghasilkan karya-karya bermutu dan berkualiti kepada pembaca.

Iklan
Novel bertajuk Petrichor.

Sementara itu, Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim berkata, novel berkenaan merupakan keluaran pertama untuk tahun ini bagi novel terbitan Alaf 21 Sdn Bhd.

Justeru, beliau berkata, pihaknya melakukan sedikit kelainan dari segi muka depan (cover) novel dengan menjadikan ia lebih moden dan baharu selain masih mengekalkan kandungan bertapis dan berkualiti tinggi.

"Kita akan buat mini pelancaran novel tersebut di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang mana tarikh akan diumumkan nanti.

"Novel tersebut boleh didapati sekarang di www.karangkrafmall.com. Selain itu, pembaca boleh membeli novel di semua kedai buku berhampiran dengan harga sebanyak RM29 bermula 1 Mei depan," jelasnya.

Petrichor mengisahkan Sameera yang menjadi kekasih kepada Haque Zuhal yang merupakan remaja kegilaan ramai perempuan namun hubungan tersebut putus di tengah jalan.

Selepas 18 tahun Sameera terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan sehingga peristiwa hitam yang terjadi menggubah hidupnya.