20 ekor kambing mati dalam kebakaran

Iklan
Kebakaran menyebabkan kesemua kambing mati.

TEMERLOH - Dugaan menjelang Aidilfitri, seorang penternak kambing kerugian hampir RM20,000 selepas 20 ekor kambing miliknya mati dalam kebakaran di Kampung Paya Batu Belengu di sini pada Isnin.

Dalam kebakaran kira-kira jam 12.05 pagi itu, Aidel Kumari, 60, tidak sempat menyelamatkan kesemua ternakan di dalam kandang belakang rumahnya.

Iklan
Iklan

"Memang ada terdengar bunyi 'prak' tapi saya ingatkan haiwan macam kerbau lalu sebab sudah biasa dengar.

"Tapi saya tak sedap hati, buka tingkap tengok api sudah marak. Nak selamatkan semua kambing tak sempat sebab bahang, panas," kata warga emas tersebut.

Iklan

Ujar Aidel, walaupun sedih kerana kejadian berlaku menjelang Aidilfitri, namun dia tetap bersyukur kerana tidak melibatkan sebarang kecederaan dan nyawa manusia.

"Ikutkan memang terasa sebab kebanyakan kambing sudah matang manakala empat lagi sedang bunting.

Iklan
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di kandang kambing di Kampung Paya Batu Belengu pada Isnin. - Foto ihsan JBPM

"Namun saya anggap ini ujian pada bulan mulia dan reda walaupun terpaksa menanggung kerugian besar," jelasnya yang sudah tujuh tahun menternak kambing.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 pagi mengenai kejadian tersebut.

"Seramai enam anggota dan seorang pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin dikerahkan ke tempat kejadian. Operasi pemadaman turut dibantu sembilan anggota BBP Temerloh bersama sebuah jentera.

"Kebakaran melibatkan sebuah kandang dengan kemusnahan 100 peratus selain semua kambing mati dalam kejadian tersebut," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, pasukan bomba membuat operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba.