KOTA KINABALU - Harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah harus dinilai semula berikutan ia begitu mahal sepanjang musim perayaan.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, isu harga tiket kapal terbang yang sangat mahal untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah, seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan juga Labuan bukan isu baharu.
"Sudah bertahun perkara dan situasi seperti ini berlaku, khususnya apabila tiba saja musim perayaan dan kita sedar dan tahu, kos operasi serta pengendalian kapal terbang ini tidak murah, dengan kos bahan api yang sentiasa meningkat serta ketidaktentuan pasaran ekonomi dunia.
"Bagaimanapun, sudah pasti apa yang rakyat dan juga pengguna perlukan adalah budi bicara serta campur tangan pihak kerajaan dan penguasa berkaitan, dengan harapan harga tiket penerbangan ketika musim perayaan ini lebih munasabah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Presiden Parti Warisan (Warisan) itu turut berkata, dalam masa sama, harga tiket kapal terbang untuk penerbangan domestik di Sabah juga turut meningkat berkali ganda.
"Orang Sabah hanya ada dua pilihan, guna perkhidmatan udara ataupun jalan raya. Umum kita tahu bagaimana keadaan jalan raya di Sabah pada ketika ini, yang banyak mengalami kerosakan, malah ada juga di sesetengah kawasan itu keadaan jalan raya yang berbahaya untuk dilalui.
"Keadaan ini secara tidak langsung akan menambah lagi masa perjalanan yang diambil, dari lapan jam untuk perjalanan biasa kepada 10 ataupun 12 jam untuk sampai ke destinasi," katanya.
Sehubungan itu, bekas Ketua Menteri Sabah itu mahu pihak kementerian dan juga agensi serta pengendali perkhidmatan udara mempertimbangkan untuk menambah kekerapan jumlah penerbangan antara bandar di Sabah khususnya.