Pemandu lori sebabkan kemalangan maut didenda RM7,000

Iklan
Yuaraj dibawa ke Mahkamah Majistret Slim River pada Isnin untuk dituduh memandu cuai, bulan lalu. - Foto ihsan pembaca

TANJUNG MALIM - Seorang pemandu lori didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Slim River pada Isnin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu cuai hingga mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa dua remaja perempuan, bulan lalu.

Tertuduh, P Yuaraj, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairun Neesha Raj Mohamed.

Iklan
Iklan

Khairun Neesha turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu lori tangki jenis Volvo didakwa tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain yang menggunakan jalan itu telah membuat pusingan U di jalan yang tidak dibenarkan.

Iklan

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (arah utara) di dalam daerah Muallim sekitar jam 10.58 malam, 29 Mac lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams-Hunt Abdullah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pemandu lori yang melarikan diri selepas terlibat dalam nahas mengorbankan dua nyawa berhampiran Kampung Kelawar di sini, Mac lepas telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka pada Jumaat.

Kejadian sekitar jam 11.18 malam itu telah mengorbankan Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, dan sepupunya, Nur Nabila Rosdi, 19.

Kejadian dipercayai berlaku selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z ditunggangi mereka dalam perjalanan dari Ulu Bernam menuju ke Slim River tidak sempat mengelak sebuah lori yang secara tiba-tiba membuat pusingan U.