PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menepis dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa parti itu dan UMNO berada dalam sebuah perkahwinan paksa.
Jelasnya, konsep perkahwinan paksa adalah tidak sesuai untuk menggambarkan hubungan antara dua parti tersebut."Perkahwinan merupakan institusi yang perlu dipertahankan sebaliknya kerjasama politik adalah bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil," katanya menerusi sidang akhbar di kementeriannya pada Isnin.
Beliau berkata, kewujudan Kerajaan Perpaduan pada hari ini adalah atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.
"Sebagai bekas Perdana Menteri, adakah beliau mahu lihat perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan?," soalnya.
Ujar Anthony, parti-parti di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan meraikan perbezaan secara matang.
"Dalam apa juga kerjasama termasuk dalam Kerajaan Perpaduan, kami seboleh-bolehnya cuba untuk kukuhkan hubungan itu," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Bera bahawa hubungan perkahwinan paksa antara UMNO dan DAP dilihat mulai retak yang akan membawa kepada perpecahan kekal.
Ia selepas pemimpin parti berkenaan secara terbuka menyerang satu sama lain di ruang awam.
Sabtu lalu, bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata hubungan UMNO dan DAP dalam gabungan kerajaan perpaduan menyukarkan parti itu untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi juga berkata pemimpin Pakatan seperti Kit Siang dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim takut terhadap kemungkinan pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memulihkan Umno.
Sebelum itu, kedua-dua pimpinan PH itu secara terbuka menentang rayuan Majlis Tertinggi Umno kepada Istana pada 9 April untuk pengampunan diraja kepada Najib yang juga bekas presiden parti itu.
Kit Siang memberi amaran bahawa kerajaan hanya akan memusnahkan dirinya sendiri akibat tindakan tersebut manakala Hassan pula berkata, kerajaan akan menghadapi bencana besar jika Najib diberi pengampunan diraja.