JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahan kejuaraan pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil 2023, pada Ahad.
Pemain berusia 35 tahun itu sekali lagi membawa pulang pingat emas acara perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas) selepas membenam rakan senegara, Muhammad Fareez Anuar 21-19, 21-19 dalam perlawanan sengit yang berlangsung di Sao Paulo, Brazil.
Lebih manis, pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo itu yang berentap dalam acara beregu lelaki bersama gandingannya, Muhammad Fareez turut meraih pingat emas selepas menewaskan pasangan pilihan pertama kejohanan dari India, Chirag Baretha-Raj Kumar 21-13, 21-18.
Kejayaan Liek Hou-Muhammad Fareez itu adalah ketiga berturut-turut ke atas gandingan India tersebut selepas menumpaskan mereka pada pentas final Kejohanan Antarabangsa Bahrain Mei tahun lalu, dan Kejohanan Antarabangsa Sepanyol, Februari lepas.
"Saya telah menjalankan tugas dengan baik dan berjaya mempertahankan gelaran dimenangi saya di sini tahun lepas.
"Keadaan akan menjadi lebih sukar untuk setiap kejohanan kerana acara kelayakan sudah pun bermula untuk Sukan Paralimpik Paris 2024," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Isnin. - Foto Bernama