Tragedi lemas, hanya sempat paut tangan rakan

Iklan
Mazeni (kiri) dan Muhammad Afiq (kanan) menyambut jenazah Mohammad Ammar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Isnin Maarof, Simpang Renggam, petang tadi.

SIMPANG RENGGAM - Abang kepada salah seorang pelajar Sekolah Islam As Syiddiq di Kampung Sahari, di sini, yang ditemukan lemas di Sungai Kampung Sahari, awal pagi tadi, sempat memaut tangan rakannya dalam kejadian petang semalam.

Muhammad Afiq Mazeni, 16, berkata, bagaimanapun, arus sungai yang deras menyebabkan dia terlepas pegangan tangan rakannya, Mohd Danish Mirzan Mohd Said, 16, selain tragedi tersebut turut mengorbankan adiknya, Muhammad Ammar, 13.

Iklan
Iklan

"Sebelum kejadian, air sungai tersebut hanya separas pinggang sahaja, tapi secara tiba-tiba arus sungai menjadi deras dan saya dengan lima lagi kawan sempat naik ke darat cuma Mohd Danish dan adik (Ammar) tak sempat...

"Bila dapat selamatkan diri, saya tengok adik dan (Mohd) Danish terkapai-kapai cuba cari tempat berpaut di tepi tebing.

Iklan

"Saya cuba hilir sungai, rasanya 500 meter untuk pintas mereka, tapi saya nampak Danish saja," ceritanya kepada pemberita selepas majlis pengebumian adiknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Isnin Maarof, di sini.

Tidak hanya berdiam diri, Muhammad Afiq cuba selamatkan rakan sekelasnya itu daripada dihanyutkan arus deras.

Iklan

"Air deras... dia sempat tangan saya sekejap je, saya tak nampak dia lagi. Saya pun cepat-cepat berpaut pada sebatang pokok bomba selamatkan.

"Saya dah tak nampak lagi mereka... sedih betul saya sebab tak dapat nak tolong mereka," katanya.

Sementara itu, bapa kepada dua beradik tersebut, Mazeni Kasman,46, berkata, selepas kejadian yang berlaku ini, dia tidak akan menghalang hasrat empat anak lelakinya untuk menuntut di sekolah agama berkenaan.

Katanya, apa yang berlaku ini adalah ujian ALLAH SWT kepada dirinya dan keluarga dan tidak akan melemahkan semangatnya untuk memberikan anak-anaknya pendidikan agama yang lebih baik sebagai bekalan pada masa hadapan.

"Apa yang berlaku ini sudah satu peringatan kepada semua bahawa kita harus sentiasa berhati-hati walaupun di mana sahaja kita berada kerana kejadian seperti ini boleh berlaku pada bila-bila masa.

" Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang terlibat di dalam operasi ini dan juga kepada orang ramai yang mendoakan supaya anak saya dijumpai segera," katanya.