Bomba guna dron pantau kebakaran di Beris Lalang

Iklan
Penggunaan dron oleh Unit Udara JBPM Kelantan membantu mengesan keadaan kebakaran di Kampung Beris Lalang. (Gambar kecil: Mohd Wildan)

BACHOK - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan dron bagi memantau dan menilai kawasan kebakaran di Beris Lalang, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Wildan Azhari berkata, kawasan yang masih terbakar melibatkan lebih satu hektar dan perlu dikawal bagi mengelakkan api merebak.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini kami menerima aduan penduduk berkaitan kebakaran belukar dan lalang namun selepas operasi didapati kawasan berkenaan merupakan tanah gambut," katanya kepada pemberita ketika tinjauan beberapa pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Kampung Kual Kecil, di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, anggota bomba menukar strategi dan akan menggunakan hos pancang yang mempunyai nozel khas bagi mengawal kebakaran.

Iklan

"Tanah gambut mudah terbakar dan panas di bahagian dalam. Kami akan bersedia di sini bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya," katanya.

Pegawai JAS diberi penerangan ketika lawatan di Kampung Kual Kecil pada Isnin.

Sehingga kini, lebih 50 pegawai dan anggota bomba 'berkampung' bagi memadam kebakaran 50 hektar tanah gambut yang berlaku sejak akhir bulan lalu.

Iklan

Katanya, pemantauan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Mineral dan Geosains negeri Kelantan.

Sebelum ini, media melaporkan kebakaran di Beris Lalang, Bachok sejak akhir Mac lalu semakin merebak sehingga 50 hektar.

Kejadian itu dikesan pada 27 Mac lalu melibatkan tanah gambut seluas lima hektar sahaja dan sehingga kini keadaan di lokasi masih berasap dan belum padam sepenuhnya.