KUALA MUDA - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah perumpamaan yang dihadapi sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan yang berteduh bawah bangsal kereta di Kampung Sungai Batu, Merbok, Kedah.
Jamil Ahamad, 35, berasal dari Kuala Pegang, Baling berkata, lebih memilukan, isterinya, Siti Norshahira Nabila Hamzah, 28, kini sarat mengandung anak ketiga.
Menurutnya, sebelum ini keluarga itu menyewa di Seberang Perai Utara, namun, disebabkan masalah kewangan, mereka tidak dapat melunaskan sewa rumah yang tertunggak.
"Banyak sangat tunggakan dan tak mampu bayar, jadi kami ambil keputusan untuk berpindah ke Sungai Batu dan menumpang di bawah bangsal depan rumah ayah," jelasnya.
Siti Norshahira berkata, keadaan rumah yang sempit dan jumlah ahli keluarga yang ramai menyebabkan dia dan suami serta dua anak, Nur Iman Arissa, 5, dan Nur Amani Arisha, 4, terpaksa berteduh di bawah bangsal buat sementara waktu.
"Dalam rumah ada mak ayah, selain tu ada tiga adik perempuan berusia 21 hingga 27 tahun dan seorang adik lelaki berusia 14 tahun, masih bersekolah.
"Salah seorang adik perempuan berstatus ibu tunggal mempunyai seorang anak berusia enam tahun turut tinggal bersama mak ayah.
"Ayah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan seorang adik perempuan bekerja kilang di Sungai Petani.
"Saya mempunyai seorang lagi adik lelaki tetapi sudah berkahwin dan tinggal dekat rumah mertua di Penaga, Pulau Pinang," katanya.
"Saya pula dijangka bersalin bulan depan dan setakat ini kami bercadang berteduh di sini dulu sebab dah tak mampu bayar sewa rumah," jelasnya.
Bangsal yang dibina dengan susunan bata selain dinding yang dipasang dengan kanvas serta berlantaikan simen, menjadi tempat empat beranak itu tidur dan berehat.
Jelasnya, walaupun Ramadan hanya tinggal beberapa hari lagi, namun tiada persiapan Hari Raya Aidilfitri dibuat dan disambut secara ala kadar sahaja.
Jamil dalam masa sama berjanji akan cuba mencari pekerjaan bagi mengubah nasib keluarga selain membuat persediaan menyambut kelahiran anak baharu tidak lama lagi.
Keluarga itu mendapat kunjungan daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda setelah kisah mereka tular di media sosial sejak Ahad.
Bagaimanapun, semakan mendapati, permohonan Bantuan Kanak-kanak yang dimohon dari JKM Seberang Perai Utara sebelum ini telah diluluskan berjumlah RM400 sebulan bermula April ini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank bernombor 7633233670 atas nama Jamil Ahamad.