PUTRAJAYA - Samirah Muzaffar yang menghadapi pertuduhan membunuh suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan sanggup mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh mahkamah bagi membolehkan dia dilepaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Samirah menghujahkan bahawa anak guamnya akan mematuhi apa juga syarat seperti berkurung dalam rumah 24 jam sehari dan melapor diri di balai polis setiap hari sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin.
"Dia sanggup menerima apa pun syarat ikat jamin yang ketat. Malah, jika dikurung dalam apartmennya 24 jam sehari pun dia sanggup asalkan dia dapat bersama dengan anak-anaknya, terutama untuk menjaga anaknya yang berusia dua dan empat tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Bunuh CEO Cradle Fund: Saya tak buat - Samirah
"Malah, dia sanggup untuk melapor diri di balai polis setiap hari kerana dia perlu untuk berada bersama anak-anak. Dia seorang ibu kepada empat orang anak dan yang sulung akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan November,” kata Muhammad Shafee di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Kamardin Hashim.
Samirah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pemohonan ikat jaminnya sementara menunggu perbicaraan kesnya yang ditetapkan pada 3 September.
Pada 12 Mac, Samirah, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO); dua remaja berusia 14 dan 17; dan seorang warganegara Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang kini masih bebas, dituduh membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, dekat sini, antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018, dan 4 pagi pada 14 Jun 2018. Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan itu.
Pada 27 Mac, kedua-dua remaja lelaki itu dibenarkan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin masing-masing.
Muhammad Shafee menghujahkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak konsisten dalam keputusannya apabila beliau membenarkan ikat jamin terhadap kedua-dua remaja itu tetapi menolak ikat jamin bagi Samirah atas alasan ada kemungkinan saksi akan diganggu, iaitu mereka yang juga anggota keluarganya.
Muhammad Shafee berkata Samirah telah dituduh di mahkamah sembilan bulan selepas kejadian itu yang beliau sifatkan sebagai"satu kemalangan" dan sebelum itu dia telah ditahan reman untuk membantu siasatan dan dilepaskan kemudian dengan jaminan polis.
"Tidak ada aduan yang dia mengganggu saksi dalam tempoh sembilan bulan, kalau dia hendak mengganggu saksi, dia sudah melakukannya lama dahulu,” kata beliau.
Muhammad Shafee turut membacakan sebahagian daripada laporan ahli patologi, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat selain afidavit Samirah, lalu Hakim Kamardin mengingatkan beliau agar tidak menyentuh merit kes memandangkan ini rayuan terhadap satu permohonan untuk mendapatkan ikat jamin.
Muhammad Shafee membacakan afidavit dan berkata, anak guamnya menolak spekulasi kononnya kejadian itu berlaku kerana menginginkan faedah kewangan dan berkata bahawa anak guamnya seorang wanita berkerjaya, seorang peguam. Dia telah menyara keluarganya selama ini dan dia lebih stabil dari segi kewangan daripada suaminya (Nazrin). Kepada perkara itu, Hakim Kamardin bertanyakan mengenai motif pembunuhan dan Muhammad Shafee menjawab,"Tiada, motifnya kosong."
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin memetik penghakiman dalam kes rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak di mana diputuskan bahawa campur tangan mahkamah rayuan hanya wajar sekiranya hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi) khilaf dari segi fakta dan undang-undang.
Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi, setelah mempertimbangkan hujahan-hujahan, afidavit serta semua fakta penting dan material, telah menggunakan kuasa budi bicaranya untuk menolak pemberian ikat jamin.
"Kami menghujahkan bahawa tiada khilaf dari segi fakta dan undang-undang oleh Mahkamah Tinggi untuk mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan," kata beliau.
Kepada perkara itu, Hakim Kamardin bertanyakan Jamil bahawa sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, adakah ia prejudis kepada kes pendakwaan.
Jamil menjawab, dalam kebanyakan kes bunuh yang membawa hukuman mati, tertuduh tidak akan dibenarkan ikat jamin kecuali wujud keadaan istimewa dan luar biasa."Ia tidak adil bagi pesalah-pesalah lain di bawah Seksyen 302 yang ditahan reman kecuali ada sebab luar biasa. Dalam kes Datuk Balwant Singh ada faktor membela diri dan pertimbangan faktor umur tertuduh pada waktu itu. Jadi dia dibenarkan ikat jamin.
"Tetapi apakah keadaan-keadaan istimewa dalam kes semasa ini,” katanya.
Hakim Kamardin yang mempengerusikan sidang bersama-sama hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 10 Mei untuk menyambung semula mendengar penghujahan. - Bernama