JOHOR BAHRU - Kes dan wabak jangkitan saluran pernafasan iaitu Influenza-Like-Illness (ILI) di Johor mencatatkan peningkatan.
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 4,355 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan sehingga minggu epid pada 15/2023 iaitu peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding 3,938 kes pada minggu epid sebelumnya.
Katanya, kumulatif kluster yang dilaporkan pula sebanyak 134 kes membabitkan tujuh kluster melibatkan institut pendidikan dan hospital.
"Sebanyak enam kluster yang dilaporkan berlaku di institusi pendidikan iaitu sebanyak 85.7 peratus manakala satu kluster berlaku di hospital (14.3 peratus).
"Terdapat tiga kluster baharu dilaporkan pada minggu epid 15/2023 melibatkan institusi pendidikan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tian Soon memberitahu secara amnya, kes ILI dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI) adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di Malaysia sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.
"Pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terhadap jangkitan ILI dan URTI, mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan.
"Sehubungan itu, JKNJ ingin menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan antaranya mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan," katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri dan JKNJ akan terus memantau situasi dan trend kejadian ILI dan URTI di Johor serta bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya.