TERENGGANU FC (TFC) mengakui tugas getir menanti skuad Penyu apabila berdepan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam aksi Liga Super malam esok.
Malah pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, ia bukan jaminan untuk skuad Penyu mencatat kemenangan ke atas Selangor FC yang berada pada prestasi terbaiknya ketika ini, walaupun pasukannya mendapatkan rentak kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut.
Katanya, lebih menggusarkan, TFC sebelum ini memiliki rekod buruk apabila tewas semua tiga perlawanan di tempat lawan ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Negeri Sembilan FC (NSFC) dan pasukan gergasi, Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Kami tahu Selangor FC ada ramai pemain berkualiti. Mereka juga berada di atas kemuncak prestasi mereka.
"Tapi kami juga banyak melakukan penambahbaikan dengan memenangi empat perlawan berturut-turut. Jadi saya harap pemain kami boleh melakukannya dengan lebih baik dan mengekalkan momentum... sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata dari Selangor malam esok," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Isnin.
TFC kini menghuni tangga keenam liga dengan 13 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.
Selangor kendalian Tan Cheng Hoe pula di kedudukan kedua liga dengan 19 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.
Bagaimanapun, Steinbruckner mengakui sedikit pening dengan masalah kecederaan yang dialami beberapa tonggak pertahanannya.
Justeru dia terpaksa meletakkan sandaran penuh kepada trio penyerang iaitu Adisak Kraisorn, Ivan Mamut dan Jordan Mintah yang setakat ini meledak enam gol pada aksi Liga Super dan Piala FA.
"Argzim (Argzim Redzovic) and Nijey (Shahrul Nizam Ros Hasni) masih cedera dan Sardor (Sardor Kulmatov) dalam keadaan 50-50 untuk diturunkan ataupun tidak esok," katanya.