PN bimbang hubungan baik PH, BN - Anthony Loke

Iklan
Anthony Loke Siew Fook.

SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) sebenarnya bimbang hubungan baik yang terjalin antara Pakatan Harapan(PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan akan membantutkan usaha mereka mengambil alih kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, PN akan melakukan apa saja untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu pihak lawan akan memecahkan kita. Itu sudah dapat dijangkakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Menteri Pengangkutan Bersama Pemimpin Masyarakat Seremban di dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Isnin.

Iklan

Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, sudah tentunya PN tidak mahu melihat kerjasama antara PH dan BN ini berpanjangan kerana ia akan merugikan mereka dari segi politik.

Ini kerana katanya, kerjasama erat antara gabungan parti itu telah dapat memperkukuhkan kestabilan politik negara.

Iklan

"Jadi bila politik stabil kita dapat tadbir negara dengan baik, maka sudah tentu rakyat akan sokong.

"Sudah tentu mereka pembangkang akan rasa rugi. Kalau kerajaan dan rakyat suka, sudah tentu dalam pilihan raya negeri nanti mereka akan ditolak," katanya.

Ditanya sama ada kerjasama dengan BN memberi kelebihan kepada DAP untuk meraih undi orang Melayu, beliau berkata, tidak melihat ia sebagai satu kelebihan sebaliknya sebagai bukti kepada semangat Kerajaan Perpaduan yang telah berjaya dibentuk.

Beliau berkata, ia juga bukan dilihat sebagai keuntungan politik tetapi kestabilan politik yang stabil dan harmoni.

"Di Negeri Sembilan misalnya kita tidak ada banyak sangat masalah dan saya rasa hubungan baik itu dah terjalin sebelum kita bentuk Kerajaan Perpaduan lagi.

"Bila Kerajaan Perpaduan dibentuk dan di Negeri Sembilan boleh dikatakan agak biasa untuk kita teruskan kerjasama ini," katanya.