SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan akan meneruskan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran Perdana Menteri itu tidak menarik balik fitnah dan meminta maaf atas tuduhan menyalah guna kuasa bagi memperkayakan keluarganya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook dengan tajuk 'Cari Gaduh’, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, tindakan saman diambil kerana Anwar masih meneruskan fitnah terhadapnya walaupun selepas berjaya menyandang jawatan Perdana Menteri.
"Hari ini (Isnin) hari terakhir untuk Datuk Seri Anwar dan peguamnya menjawab surat dari peguam saya yang memintanya untuk menarik balik fitnah dan meminta maaf kerana menuduh saya menyalah guna kuasa untuk memperkaya keluarga. Jika tidak saya telah arah peguam untuk teruskan tindakan undang-undang.
"Selain itu, saya juga diberitahu bahawa Anwar setelah peguam saya keluar surat meminta dia menarik balik fitnahnya, ketika berdialog dengan pelajar-pelajar universiti telah berkata bahawa dia tidak mahu bergaduh dengan saya.
"Ini agak pelik. Dia fitnah saya bermacam-macam selama berpuluh tahun. Masa itu pun bila minta tunjuk bukti, tak ada satu pun bukti yang dia tunjuk walaupun dengar cerita ada berkotak-kotak bukti dalam simpanannya," katanya menerusi perkongsian itu.
Dalam pada itu Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) menjelaskan, sebelum ini beliau tidak mengambil tindakan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ekoran menganggap serangan yang dibuat adalah perbuatan seseorang yang terdesak kerana terlampau mahu menjadi Perdana Menteri.
"Tetapi hari ini apabila dah jadi Perdana Menteri, dia (Anwar) masih teruskan fitnah. Jadi saya minta tarik balik dan jika tidak saya ambil tindakan undang-undang. Itulah yang saya lakukan. Jadi siapa yang cari gaduh," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Dr Mahathir mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Perdana Meneteri berhubung kenyataan yang dikeluarkan ketika berucap di Kongres Nasional Khas PKR 2023 pada 18 Mac lalu.