Masa terbaik Shereen tuai hasil

Iklan
Prestasi Shereen semakin meningkat sejak berkelana ke AS pada 2019.

PRESTASI semasa atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy disifatkan berada dalam momentum terbaik untuk lebih menyerlah tahun ini.

Malah, bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Muhammad berkata, kejayaan Shereen meleburkan rekod kebangsaan 400 meter (m) juga petanda positif untuk menuai lebih laba hasil kerja kerasnya selama ini.

Iklan
Iklan

"Secara jujur, Shereen telah mempamerkan peningkatan prestasi yang konsisten dari satu kejohanan ke satu kejohanan sepanjang berada di Amerika Syarikat (AS).

"Saya amat berharap Shereen dapat mengekalkan momentum larian sehingga Sukan SEA Kemboja 2023 bulan depan berdasarkan catatan 51.80 saat (s).

Iklan

"Catatan yang diraih oleh Shereen sebenarnya merupakan rekod Sukan SEA untuk kedudukan pingat emas,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum itu, atlet Winona State University di Minnesota berusia 25 tahun itu melakar masa 51.80 saat (s) pada saringan satu Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California, AS.

Iklan

Keputusan tersebut sekali gus memperbaharui rekod milik Allahyarham Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada tahun 1993 di Filipina.

Kejayaan dilakar anak bongsu kepada pasangan bekas pelari negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary itu juga memadam rekod Sukan SEA Vietnam 2003 di Hanoi milik atlet Vietnam, Nguyen Thi Tinh, 51.83s.

Catatan itu juga melayakkan Shereen beraksi dalam Sukan Asia Hangzhou di China pada September ini.

Kejayaan terbaru Shereen itu turut meletakkan dia sebagai antara pilihan utama untuk memenangi pingat emas 400m dalam Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, bulan depan.

Mengulas lanjut, Nazmizan berharap atlet dari Ipoh yang sedang menuntut dalam bidang rekreasi dan pelancongan di Winona State University sejak 2019 itu mengakhiri cabaran Sukan Asia di kedudukan podium.

"Walaupun kita bakal berdepan cabaran dari Bahrain, Kazakhstan, China dan Jepun, namun dengan komitmen serta disiplin yang diterjemahkan dalam pertandingan di AS, dia mampu membawa lebih banyak perkhabaran gembira.

"Yang penting adalah dia perlu terus memastikan dirinya berada pada tahap terbaik bagi meraih keputusan lebih baik lagi, selain mengelak diri daripada sebarang kecederaan.

"Saya juga berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat menyalurkan bantuan kewangan bagi menampung kos pengajian serta sara hidup Shereen sepanjang berada di sana,” katanya.