Sensitiviti agama bukan bahan mainan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur semalam telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 kepada Siti Nuramira Abdullah, 27, yang menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika komediri di sebuah kelab komedi pada Jun tahun lalu.

Wanita berkenaan dijatuhi hukuman itu oleh Hakim N Priscilla Hemamalini selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pilihan, Siti Nuramira didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama lain dengan menyebut bahawa dia seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudiannya membuka tudung serta menanggalkan baju kurung.

Kesalahan dilakukan sewaktu persembahan di atas pentas di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail pada jam 6 petang, 4 Jun 2022.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Biarpun tidak dikenakan hukuman penjara seperti dibenarkan di bawah seksyen berkenaan, hukuman denda itu pastinya dapat memberi pengajaran kepada Siti Nuramira yang dikatakan telah menyesal dengan perbuatan tersebut dan memohon maaf kepada semua pihak terlibat.

Iklan

Hukuman yang dikenakan itu juga diharap dapat memberi pengajaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dalam pertuturan dan perbuatan supaya tidak menyinggung sensitiviti sesuatu agama.

Umat Islam di negara ini cukup marah dan kecewa apabila sempadan batas agama dijadikan bahan mainan termasuk untuk memperoleh publisiti murahan atau melariskan sesuatu barangan jualan, apatah lagi jika ia dilakukan pada bulan Ramadan yang suci.

Sebagai negara berbilang kaum, isu sensitiviti keagamaan dan kaum bukanlah sesuatu yang boleh dibuat bahan publisiti atau jenaka.

Semua pihak harus berfikir mendalam sebelum melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

Filem-filem dan muzik video yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Amaran sahaja tidak berguna.

Heret mereka yang terlibat ke mahkamah supaya ia dapat dibendung dan menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Jika tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa, mereka yang melakukan perkara-perkara melanggar sensitiviti ini akan berterusan melakukan perkara sama saban tahun tanpa sebarang perasaan takut dan rasa bersalah.