KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelakon, Puteri Sarah memberitahu bahawa, dia tidak sabar untuk dilepaskan daripada perkahwinan dengan suaminya, Syamsul Yusof kerana mahu meneruskan kehidupan dengan tenang.
Pelakon berusia 38 tahun itu berkata, dia hanya mahukan kebebasan dan memohon semua pihak mendoakan urusannya berjalan lancar.
Wanita itu yang tiba di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada jam 9.20 pagi, dengan berpakaian serba putih, menggambarkan imejnya hari ini sebagai permulaan untuk kehidupan baharu kelak.
"Diharap Syamsul melafazkan cerai dan jika gagal, saya akan beritahu sebabnya kemudian," kata Puteri Sarah.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan prosiding kes lafaz cerai dijadualkan di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada jam 11 pagi ini.
Difahamkan, pasangan ini juga perlu menghadiri sesi sulh yang dijadualkan jam 9 pagi sebelum ke prosiding kes cerai, dua jam kemudian.
Bagaimanapun, pihak media masih menanti ketibaan pengarah filem, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, di lobi mahkamah.
Pada 10 April lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, menetapkan prosiding kes lafaz cerai Syamsul terhadap isteri pertamanya pada Selasa, selepas pasangan ini, telah mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan secara baik.
Bagaimanapun, terma-terma penyelesaian hanya akan dimaklumkan kemudian, antaranya menyentuh isu hadanah, nusyuz, mutaah, nafkah, idah dan harta sepencarian.
Dalam kes ini, Syamsul diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais sementara Datuk Akberdin Abdul Kader bagi pihak Puteri Sarah.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.
Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.
Sementara itu, Syamsul tiba di mahkamah dengan memakai jaket kelabu pada jam 9.50 pagi, enggan membuat sebarang kenyataan.
"Saya datang hanya mahu baca ikrar, kita tunggulah macam mana, selebihnya tiada komen," katanya.