PENGENDALI Johor Darul Ta’zim, Esteban Solari mahu skuad kendaliannya memberi fokus pada aksi Liga Super berdepan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) pada Rabu.
Menurutnya, kesebelasan skuad Harimau Selatan itu juga diharap tidak terikut-ikut dengan rentak permainan skuad The Cops yang dijangka mempamerkan aksi sama seperti saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim 14 April lalu.
"Saya menjangkakan aksi yang sama daripada mereka (PDRM FC). Pasukan ini sebenarnya agak ‘liat’ dan sentiasa berjuang di tengah padang.
"Mereka juga akan bermain secara bertahan dan melengah-lengahkan permainan, semua itu memang dibenarkan dalam bola sepak.
"Saya tidak salahkan mereka, tetapi sebaliknya perlu menyalahkan diri sendiri kerana perlu lebih bijak menguasai perlawanan, membuatkan perlawanan berlangsung lebih pantas dan seterusnya muncul sebagai pemenan. Itu yang seharusnya dilakukan, bukannya menyalahkan mereka (pasukan lain),” katanya.
Mengulas mengenai kesebelasan pemain yang bakal beraksi, Solari berkata, berkemungkinan akan memberikan peluang kepada lebih ramai pemain termasuk pemain muda untuk beraksi.
Malah katanya, setakat ini pemain-pemain berkenaan dilihat telah membalas kepercayaan yang diberikan dengan memberikan aksi terbaik.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami ada ramai pemain dan mereka akan mendapat peluang untuk beraksi.
"Apa pun, perlawanan dengan PDRM FC ini agak penting juga buat kami kerana ia merupakan perlawanan terakhir sebelum liga berehat seketika (seminggu), dan kami pastinya mahu mencatatkan kemenangan,” katanya.