Kedah perlu atasi segera masalah gangguan air

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 6 April lalu. (Saiful Hazizy)

ALOR SETAR - Kerajaan negeri diminta memperjelaskan status pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini susulan masalah bekalan air bersih masih gagal diselesaikan sehingga kini.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya bersikap telus dan berterus terang kepada rakyat dengan memberi gambaran tepat situasi terkini di tapak loji pemprosesan air Bukit Selambau dan Sungai Limau.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tahap kemajuan kerja bagi kedua-dua LRA berkenaan masih rendah dan perlahan, menyebabkan gangguan bekalan air terus berlaku di daerah Kuala Muda, Yan dan sekitarnya.

"Kedua-dua loji terbabit amat penting kerana ia memberi kesan langsung kepada pengguna air di daerah Kuala Muda.

Iklan

"Dakwaan gangguan bekalan air dikaitkan dengan faktor cuaca kemarau tidak boleh dianggap sebagai punca utama berlakunya masalah itu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya lagi, pihaknya turut bimbang mengenai tahap respons dan tindakan Syarikat Air Darul Aman (SADA) berhubung krisis air terutama sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Iklan

"SADA dilihat gagal menyelesaikan permasalahan aduan dan tindakan pantas. Pembekuan cuti kaki tangan syarikat itu tidak mencukupi sekiranya pemetaan sistem dan tindakan masih lagi bersifat seperti 20 tahun ke belakang.

Shaiful Hazizy berkata, proses penghantaran air ketika musim perayaan turut membimbangkan susulan lori-lori air yang ditugaskan oleh SADA mempunyai banyak kelemahan dan meresahkan pengguna.

"Kebanyakan daripada mereka gagal menepati jadual atau terlewat daripada garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Pada 6 April lalu, Sinar Harian melaporkan lebih 600 penduduk di Taman Murni, Gurun terputus bekalan air sejak bulan lalu dan mereka mengharapkan agar masalah berkenaan dapat diselesaikan sebelum sambutan Aidilfitri.

Menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini, dijangkakan hampir satu juta daripada kira-kira 2.2 juta penduduk Kedah akan mengalami krisis bekalan air khususnya daerah Kuala Muda terutama di Merbok, Tanjung Dawai, Bedong dan Sungai Petani.

Kawasan lain yang turut dijangka mengalami masalah sama termasuk sekitar Kuala Kedah di daerah Kota Setar, selain Pendang, Kulim, Yan, Baling dan Sik.