Puteri Sarah enggan tarik saman terhadap Ira punca tidak cerai

Iklan
Puteri Sarah hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan pelakon, Puteri Sarah enggan menarik balik saman terhadap madunya, Ira Kazar dan keluarga menjadi salah satu punca perceraiannya dengan suami, Syamsul Yusof tidak kesampaian pada Selasa.

Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin juga tidak bersetuju apabila pengarah filem 'Mat Kilau' itu meminta nafkah dua anak mereka dikurangkan sebanyak 30 peratus.

Iklan
Iklan

Sedangkan pelakon berusia 38 tahun itu berkata, jumlah berkenaan dicadangkan sendiri oleh Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof ketika prosiding terdahulu.

"Buat apa saya nak tarik balik saman terhadap Ira (nama sebenarnya Faghira Fatini), padahal itu yang saya perjuangkan selama ini," katanya.

Iklan

Biarpun prosiding itu kelak akan berlanjutan sehingga 1,000 tahun, Puteri Sarah berkata, dia sekali-kali tidak akan menarik balik kes berkenaan.

Puteri Sarah berkata, bukan harta sepencarian yang diminta sebaliknya keadilan buat dua anaknya mereka.

Iklan

Bagaimanapun, dia berkata akan mempertimbangkan sebarang cadangan oleh suaminya itu, namun tidak akan menarik kesemua tuntutan berkenaan.

"Kes saya dan Syamsul dengan kes saya dan Ira adalah dua kes berbeza. Jadi tak boleh bercampur aduk,” katanya selepas prosiding permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.

Dalam prosiding ini, pengarah berusia 39 tahun itu tidak melafazkan perceraian terhadap Puteri Sarah selepas terma-terma perceraian tidak mencapai persetujuan.

Wanita itu yang tiba di mahkamah pada jam 9.20 pagi dengan berpakaian serba putih, menggambarkan imejnya sebagai permulaan untuk kehidupan baharu kelak.

Sementara itu, Syamsul tiba di mahkamah dengan memakai jaket kelabu pada jam 9.50 pagi, enggan membuat sebarang kenyataan.

"Saya datang hanya mahu baca ikrar, kita tunggulah macam mana, selebihnya tiada komen," katanya.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga pasangan pelakon ini mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Puteri Sarah yang juga pelakon ‘Lu Pikirlah Sendiri de Movie’, kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.

Antara alasan permohonan itu ialah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak.

Pada 7 Mac lalu, susulan keengganan Syamsul menceraikan Puteri Sarah, mahkamah memerintahkan mereka melantik wakil JKP.

Mahkamah kemudiannya, menetapkan prosiding itu pada Selasa, untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, pada 10 April, mahkamah dimaklumkan bahawa, pasangan ini telah mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan secara baik.

Ia berdasarkan terma-terma penyelesaian yang dipersetujui antaranya hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.