Daging, ayam, telur ayam cukup di Pulau Pinang

Iklan
Jegan (kanan) mengiringi Abdul Halim (dua dari kanan) meninjau harga barang di Pasaraya Mydin Bukit Mertajam pada Selasa.

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memberi jaminan bekalan bagi kesemua 21 barangan yang disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) mencukupi sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini.

Bagaimanapun, 21 barangan itu tidak termasuk ayam dan telur ayam namun bekalan kedua-dua barangan itu juga mencukupi sepanjang musim perayaan.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, setelah empat hari SHMMP dilaksanakan, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan atau kenaikan harga barang di Pulau Pinang.

"KPDN Pulau Pinang akan memastikan bekalan barangan seperti daging lembu, ayam dan telur ayam mencukupi sepanjang musim perayaan,” katanya selepas mengiringi Exco Perdagangan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain meninjau harga barangan di Pasaraya Mydin di sini pada Selasa.

Iklan

Barangan kawalan di bawah SHMMP 2023 ialah daging lembu tempatan (kecuali tenderloin), daging lembu import, daging kerbau import dari India, ikan kembung, ikan selayang (sardin), ikan tongkol dan ikan Demudok.

Bagi sayur-sayuran pula ialah tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sayur sawi, halia tua import, bawang merah import, bawang kuning, bawang putih Cina, bawang merah India, kentang import, cili kering, kacang tanah, kelapa dan kelapa parut.

Iklan

SHMMP 2023 akan dilaksanakan selama 16 hari sehingga 30 April ini.

Sementara itu, Jegan berkata, antara 1 Januari hingga Isnin, pihaknya telah merampas barangan bernilai RM1.8 juta atas pelbagai kesalahan susulan pemeriksaan terhadap 17,939 premis di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, pihaknya turut mengenakan tindakan terhadap 276 kes dengan kompaun yang dikeluarkan bernilai RM443,600.

"Berdasarkan statistik, kami menerima 2,769 aduan sejak Januari sehingga semalam (Isnin). Daripada jumlah itu, 421 aduan adalah mengenai harga, 65 mengenai bekalan dan selebihnya, kesalahan lain.

"Seramai 122 pegawai penguat kuasa KPDN Pulau Pinang dibantu 66 pemerhati harga akan ditugaskan sepanjang pelaksanaan SHMMP 2023 di peringkat negeri," katanya.