TAIPING - Setelah 40 tahun menghabiskan hayat di dalam tirai besi, tarikh 22 Mac menjadi tarikh keramat buat Jamil Wahab, 63, apabila dibebaskan setelah mendapat pengampunan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, 22 Mac lepas.
Tempoh itu menjadikan Jamil yang mesra disapa Pak Jamil Hayat sebagai banduan paling lama di negara ini menerima hukuman kini bebas, dan kembali ke kampung halamannya di Kampung Guang, Keliwang, Sembawa di Indonesia, awal pagi ini.
"Bila saya tahu dapat pengampunan pembebasan, saya tidak percaya kerana saya sedia maklum berkenaan hukuman sepanjang hayat di penjara. Masa tahun 2012, ada pengampunan beramai-ramai di Johor dengan banduan paling lama adalah 37 tahun sedangkan waktu itu saya 29 tahun. Terus saya kata dalam hati, saya takkan ada peluang.
"Saya fikir akan mati di dalam penjara sahaja dan tidak mempedulikan apa yang akan berlaku dalam dunia ini. Saya ingat mati nanti apa yang saya akan bawa, jadi tumpu untuk beribadah.
"Pagi semalam ketika tuan pengarah beritahu saya dapat pengampunan, saya hanya masuk telinga kiri keluar telinga kanan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Penjara Taiping, semalam.
Jamil berkata beliau amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menghabiskan sisa hidupnya di kampung halaman, namun jauh dari sudut hatinya berat untuk meninggalkan sebuah bangunan tembok besi agam yang mengubahnya menjadi seorang manusia yang berguna.
"Saya seronok dapat ‘ampun’, tapi saya sedih sangat untuk tinggalkan penjara ini. Seronok ada tapi sedih lagi tebal kerana akan berpisah dengan staf yang menjaga saya seperti seorang sahabat dan bukan sebagai banduan,” katanya.
Penjara mengajar Jamil menjadi seorang pekerja mahir dalam bidang jahitan apabila sehingga kini beliau telah menghasilkan ribuan baju Melayu dan blazer untuk pegawai-pegawai penjara.
Sebelum dipindah ke Penjara Taiping dari Penjara Johor Bahru, Jamil mengutip pengalaman dari bengkel rotan menghasilkan perabot seperti kerusi dan meja.
Malah katanya berbekalkan ilmu agama yang dipelajari selama di kampung dahulu, 40 tahun meraikan hari raya di penjara, Jamil memimpin jemaah lain bersolat termasuk solat hari raya.
Jamil seterusnya menasihati anak muda agar jangan mensia-siakan waktu muda dan berpegang teguh kepada ajaran agama agar sentiasa terhindar dari melakukan perbuatan yang tidak baik.
"Ketika muda, bila pegang pistol perasaan di dunia ini seperti kita yang punya. Bila pegang pistol kita rasa semua kecil, sikit-sikit marah mahu tembak sahaja. Saya bukan orang yang baik, apabila di Indonesia dulu pun selalu masuk penjara. Atas jasa baik pegawai penjara di sini, saya dapat berubah menjadi manusia yang tidak tinggal ibadah sejak tahun 90-an.
"Saya tekad untuk ubah semua. Saya solat lima waktu dan tidak tinggal apa yang disuruh. Apabila saya lihat cermin, saya tengok rambut saya dah beruban. Dulu saya masuk penjara, badan gempal sekarang kurus,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim dan keseluruhan kakitangan Penjara Taiping.
Pengarah Penjara Taiping Penolong Kanan Komisioner Penjara Nazri Mohamad berkata Jamil dimasukkan ke Penjara Johor Bharu pada Februari 1983 setelah dijatuhi hukuman Penjara Seumur Hayat dan enam sebatan rotan di bawah Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Jamil kemudian dipindahkan ke Penjara Taiping pada 1986 untuk meneruskan hukumannya.
Menurut Nazri pada 22 Mac, Jamil mendapat pengampunan pembebasan daripada Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Johor dengan syarat dia hendaklah dihantar pulang ke Indonesia dan membuat akujanji tidak akan kembali ke negara ini lagi.
"Ia mendapat sokongan dari Pengarah Penjara Taiping melalui Kaedah 113 Peraturan Penjara 2000 Rayuan Pengampunan Banduan Seumur Hayat. Buku laporan kajian hukuman empat tahun sekali bahagian 6 peraturan 54 peraturan-peraturan penjara 2000 iaitu sebanyak 28 buku penyata empat tahun, dibuat untuk rayuan pengampunan,” katanya.
Nazri menyifatkan Pak Jamil sebagai seorang banduan yang warak dan sentiasa tekun dalam setiap bidang yang diceburi selain disenangi oleh penghuni di penjara ini.
"Dia amat aktif dalam aktiviti keagamaan apabila dia menjadi imam dalam sel dan mengajar penghuni lain membaca Al-Quran. Hubungan Pak Jamil sesama penghuni lain adalah baik dan rapat. Bila sebut sahaja Jamil Hayat, semua kagum dan hormati dia atas ketokohan dan kepimpinan melalui ilmu yang diperoleh,” katanya. - Bernama